Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meluluskan Geran Agropreneur Muda berjumlah RM20,000 untuk menyokong usahawan tani yang kekal aktif dan berdaya maju dalam sektor agromakanan.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah ungkapan yang sesuai dengan seorang anak muda Wong Wei Xuan yang berumur 23 tahun berasal dari Kota Tinggi, Johor.
Wong Wei Xuan merupakan usahawan tani (agropreneur) muda dalam bidang berasaskan perikanan yang berjaya. Beliau merupakan lepasan IGCSE dan A-Level, mula menceburkan diri dalam industri perikanan sejak tahun 2018 dengan mengusahakan ternakan ikan ketutu.
Pada tahun 2019 hingga 2022, beliau hanya menjalankan penternakan ikan ketutu sahaja. Namun begitu, pada tahun 2023, beliau mula menternak ikan hiasan Discus untuk menambahkan lagi sumber pendapatannya.

Wong Wei Xuan turut mengasah kemahirannya dalam ternakan ikan hiasan dengan bantuan daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). Hasil usaha yang berterusan, kini beliau dapat memasarkan ikan sehingga ke pasaran dunia, iaitu Australia, Filipina, Thailand, Mexico dan Republic Czech.
Beliau juga merupakan satu daripada contoh usahawan tani yang menerima banyak anugerah dan pencapaian yang membanggakan. Antara anugerah yang diterima beliau termasuklah Sijil Penghargaan Kepada Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor (2022), Juara Pertandingan Australian Discus Show (2023) dan Juara Pertandingan Ikan Discus The Royal Princess Cup of Thailand (2024).

Bagi melihat sejauh mana industri perikanan perikanan yang diusahakan oleh Wong Wei Xuan, Ketua Setiausaha KPKM YBhg. Datuk Seri Isham Ishak telah mengadakan lawatan ke projek ternakan ikan Wong Wei Xuan, semalam.
Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain; SUB Bahagian Sekuriti Makanan, YBrs. Encik Jazman Azi Jamaluddin; SUB Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, YBhg. Dato’ Muhammad Ammir Haron, serta pegawai KPKM dan DOF.