Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSektor gastronomi merupakan subsektor pelancongan yang semakin mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia serta memberikan impak yang positif terhadap ekonomi setempat. Perkataan gastronomi berasal daripada bahasa Yunani, iaitu gastrě yang bermaksud perut dan nomos, undang-undang yang memerintah. Secara literal, gastronomi diterjemahkan sebagai seni peraturan yang mengawal perut. Menurut Cailein Gillespie, seorang pengkaji kontemporari bidang tersebut mendefinisikan gastronomi sebagai seni atau sains pemakanan yang baik. Definisi yang dikemukakan beliau selaras dengan takrifan gastronomi menurut Kamus Dewan Perdana yang bermaksud kajian, seni atau amalan memilih, menyediakan atau memakan makanan yang baik.
Pelancongan gastronomi merupakan aktiviti pelancongan yang memfokuskan pengalaman menikmati hidangan yang merangkumi makanan dan minuman istimewa tempatan atau antarabangsa di sesuatu kawasan. Selain itu, pelancongan gastronomi membolehkan pelancong mengetahui asal usul sesuatu hidangan masyarakat tempatan.
Oleh sebab itu, pelancongan gastronomi bukan sekadar makanan, bahkan mencerminkan budaya, warisan, tradisi dan rasa masyarakat pelbagai etnik. Pelancongan gastronomi juga ialah satu cara untuk menggalakkan persefahaman antara budaya yang berbeza dan mendekatkan masyarakat dengan tradisi. Pelancongan gastronomi turut bertindak sebagai pelindung kepada warisan budaya, selain mewujudkan pelbagai peluang, terutamanya pekerjaan, sama ada di destinasi bandar atau luar bandar.
Kepelbagaian hidangan yang terdapat di Malaysia adalah cerminan masyarakat negara ini yang pelbagai. Setiap etnik dan negeri mempunyai hidangan istimewa antaranya burasak (Bugis), mi kolok (Sarawak), nasi ambeng (Jawa), dodol kukus tahi minyak (Pahang), jeruk tuhau (Kadazandusun), air katira (Johor), pulut kukus dalam periuk kera (Orang Asli Semelai), manok pansoh (Iban dan Bidayuh), kuih cincin (Sabah), opok-opok (Kelantan) dan gulai asam rong (Pahang).
Kepelbagaian etnik menjadikan negeri Melaka amat kaya dengan hidangan berteraskan etnik tempatan, selain makanan dan minuman berasal dari luar negara serta hidangan gabungan atau fusion. Asam pedas merupakan hidangan yang popular dan sinonim dengan negeri Melaka. Asam pedas mendapat nama kerana kombinasi antara rasa masam dan pedas dalam masakan tersebut. Manakala hidangan seperti pulut tekan seri kaya, pulut inti, ayam pongteh, laksa nyonya, itik tim dan inchi kabin sinonim dengan etnik Baba Nyonya. Komuniti Portugis pula terkenal dengan hidangan kari ayam Debal dan ikan bakar Portugis. Komuniti Chetti juga mempunyai hidangan istimewa seperti nasi kembuli, kuih kayam, ikan pindang dan air panakan. Makanan tradisi masyarakat Orang Asli Suku Temuan seperti ayam dalam buluh, sambal bunga kantan dan ayam bakar daun semomok turut menambahkan lagi kepelbagaian hidangan di negeri Melaka.
Kepelbagaian jenis hidangan etnik harus diketengahkan untuk mempromosikan pelancongan gastronomi di Melaka. Hal ini memandangkan pelancongan tersebut memberikan impak positif bukan sahaja kepada para pelancong, bahkan masyarakat tempatan dan ekonomi negeri Melaka. Satu daripada impak positif ialah pelancongan gastronomi dapat memperkenalkan budaya dan warisan sesebuah negeri kepada pelancong. Setiap negeri mempunyai masakan tersendiri yang melambangkan sejarah, tradisi dan cara hidup masyarakatnya. Pelancong akan dapat memahami lebih mendalam tentang adat dan budaya setempat.
Sebagai contoh, menikmati hidangan tradisional pelbagai etnik bukan sahaja memberikan kepuasan rasa, bahkan membuka ruang perbincangan tentang sejarah masyarakat dan pengaruh pelbagai budaya lain dalam masakan tersebut. Untuk hidangan etnik Chetti, rempah ratus tradisional India biasanya digabungkan dengan bahan-bahan masakan etnik Melayu seperti belacan, serai, lengkuas, daun pandan dan santan. Gabungan bahan masakan India – Melayu menghasilkan hidangan Chetti yang unik. Masakan tradisional masyarakat Chetti antaranya ialah masak ikan parang (kari ikan), lauk pindang, ikan sepat masak nanas dan sambal belimbing. Begitu juga dengan kuih muih dalam etnik Chetti seperti pulut tekan, wajik, onde-onde, kuih kanda kasturi dan pengat durian yang berasaskan resepi kuih etnik Melayu.
Ekonomi tempatan juga menikmati kesan positif pelancongan gastronomi. Peningkatan bilangan pelancong dalam mahupun luar negara yang ingin mencuba hidangan tempatan akan merancakkan lagi perniagaan berasaskan makanan dan minuman seperti kafe, restoran dan kedai makanan. Di Melaka terdapat beberapa destinasi makan minum yang popular dalam kalangan pelancong antaranya ialah Roti Canai Kayu Arang di Bachang, Kari Kepala Ikan MITC, Kafe Markisa di Chinchin, Cendol Kampung Hulu, Warung Hijau Rojak Sotong di Durian Daun, Restoran Pak Putra di Taman Kota Laksamana, Grass Stream Kitchen di Kampung Paya Rumput dan Asam Pedas Pasar Borong di Batu Berendam. Kedai tersebut bukan sahaja menyajikan hidangan tempatan bahkan terdapat juga hidangan barat serta hidangan gabungan tempatan dengan barat. Hotel yang menyajikan kepelbagaian hidangan tempatan turut merasai kesan positifnya. Hal ini memandangkan pelancong akan menginap dan menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak hotel. Kerancakkan perniagaan berasaskan makanan dan minuman akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
Bagi mempromosikan pelancongan gastronomi di Melaka, beberapa langkah boleh diambil antaranya termasuklah membuka bazar hidangan tradisional berteraskan etnik di kawasan yang sinonim dengan etnik masing-masing. Sebagai contoh, bazar hidangan tradisional etnik Melayu di Perkampungan Hang Tuah, Duyong; etnik Portugis di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir; etnik Chetti di Kampung Chetti, Gajah Berang; etnik India di Little India Melaka serta etnik Cina dan Baba Nyonya di Chinatown Melaka yang merangkumi tiga laluan, iaitu Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat dan Jalan Tokong.
Matlamat pembukaan bazar hidangan tradisional berteraskan etnik di kawasan yang berlainan bukan sahaja strategi untuk mempromosikan pelancongan gastronomi bahkan untuk mempromosikan tempat tarikan pelancong tersebut yang menjadi tapak bazar. Pelancong berpeluang untuk melihat sendiri perkampungan berteraskan etnik dan mengetahui sejarahnya. Sebagai contoh, di Perkampungan Portugis dan Chetti terdapat muzium warisan yang mempamerkan tentang asal usul dan perkembangan masyarakat minoriti tersebut. Pelancong buka sahaja dapat menikmati pelbagai hidangan yang dijual malahan mempelajari sejarah etnik dengan mengunjungi muzium tersebut. Keberadaan Muzium Warisan Baba dan Nyonya di Jalan Tun Tan Cheng Lock turut membolehkan pengunjung bazar untuk singgah dan mengetahui lebih lanjut sejarah etnik tersebut.
Bazar hidangan tradisional etnik Melaka juga boleh diadakan di Pasar Terapung Sungai Melaka dan Windmill Pink Market, Dataran Pengkalan Rama. Windmill Pink Market yang dibuka pada 1 April 2024 dan pasar terapung yang dibuka mulai 1 Jun 2024 menjadi tarikan dan tempat santai pilihan bagi pelancong tempatan dan antarabangsa. Lokasi yang kian menjadi tumpuan orang ramai amat sesuai bagi mempromosikan hidangan tradisional pelbagai etnik Melaka. Bagi mempromosikan pelancongan gastronomi, kerajaan negeri Melaka telah menganjurkan Festival Masakan Warisan Melaka yang menghimpunkan pelbagai jenis makanan warisan pelbagai etnik di negeri Melaka seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Chetti, Baba Nyonya, Portugis dan Punjabi. Festival yang diadakan pertama kali pada tahun 2004 itu merupakan satu daripada usaha memelihara budaya dan warisan menerusi masakan pelbagai etnik.
Dengan kedatangan pelancong yang datang untuk menikmati makanan khas, peniaga tempatan seperti restoran, gerai makanan dan kedai makanan dapat meningkatkan pendapatan mereka. Peningkatan permintaan terhadap produk tempatan bukan sahaja membantu meningkatkan jualan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dalam sektor penyediaan makanan. Dengan adanya lebih banyak pekerjaan, masyarakat setempat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.
Kesimpulannya, pelancongan gastronomi bukan sahaja memberi pelancong pengalaman merasai pelbagai jenis hidangan, bahkan mempromosikan budaya tempatan, menyokong ekonomi masyarakat dan mewujudkan interaksi sosial secara positif. Pelancongan gastronomi berpotensi untuk berkembang dengan pesat dan mampu berfungsi sebagai alat untuk memelihara keunikan dan warisan hidangan pelbagai etnik. Maka, setiap individu yang terlibat dalam sektor pelancongan harus sedar dan cakna bahawa pelancongan gastronomi adalah trend semasa dan mempunyai potensi yang besar untuk menarik lebih banyak pelancong tempatan dan luar negara untuk berkunjung ke Melaka.