Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeperti yang dibincangkan dalam artikel bahagian pertama, keseimbangan antara kehidupan dengan kerja merupakan satu daripada faktor utama yang mempengaruhi kebahagiaan seseorang, baik dari segi pekerjaan mahupun kehidupan peribadi. Dengan mengimbangi komitmen kerja dengan keperluan peribadi, seseorang dapat menjaga keharmonian antara kesibukan menjalankan tugas profesional dan menjalani kehidupan peribadi yang sejahtera. Sebenarnya, definisi keseimbangan ini berbeza bagi setiap individu. Tiada satu formula yang pasti untuk semua. Namun begitu, terdapat beberapa strategi yang boleh membantu seseorang mencapai keseimbangan kehidupan dan kerja dengan lebih baik.
Langkah pertama dalam mencapai keseimbangan kehidupan dengan kerja adalah dengan menetapkan matlamat yang jelas. Dengan mempunyai sasaran yang jelas, seseorang akan lebih mudah membuat keputusan yang tepat dan bertindak dengan lebih fokus. Matlamat ini akan menjadi pemacu semangat dan memberikan dorongan untuk bergerak ke arah pencapaian yang lebih baik, sama ada dalam kerja mahupun kehidupan peribadi.
Sering kali kita berusaha untuk memiliki jadual yang sempurna, namun realitinya, tidak semua hari akan berjalan mengikut seperti perancangan. Tugas kerja yang mendesak atau keperluan peribadi yang tidak dijangka kadangkala memaksa kita untuk mengatur semula jadual. Hal ini termasuklah menyenaraikan keutamaan berdasarkan kepentingan, tarikh akhir, dan impaknya. Dengan cara ini, kita dapat memberikan tumpuan pada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu tanpa merasa terbeban.
Pembahagian masa adalah kunci utama dalam mencapai keseimbangan antara kerja dengan kehidupan peribadi. Seorang individu yang bijak merancang masa akan dapat mengimbangi tugasan di tempat kerja dan memenuhi keperluan peribadi tanpa merasa tertekan. Perancangan yang baik akan memberikan arah dan garis panduan yang jelas, memudahkan seseorang untuk mencapai matlamat keseimbangan tersebut. Tanpa perancangan yang sistematik, kita mungkin akan kehilangan fokus dan terjebak dalam kesibukan yang tiada penghujungnya. Oleh itu, merancang dengan teliti adalah langkah pertama dalam mencipta keseimbangan yang diinginkan.
Di tempat kerja, kita perlu berazam untuk fokus pada tugasan yang diberikan. Dengan memberikan tumpuan penuh, kita dapat menyelesaikan banyak kerja dalam waktu yang lebih singkat, dan dapat meluangkan lebih banyak masa untuk keperluan peribadi. Satu daripada cara untuk menjaga keseimbangan adalah dengan menetapkan sempadan waktu bekerja dan mengelakkan membawa kerja pejabat ke rumah.
Bagi sesetengah individu, mungkin sukar untuk membayangkan keseimbangan kehidupan dengan kerja kerana kesibukan atau budaya kerja yang memerlukan mereka memberikan komitmen lebih daripada biasa. Walaupun hal ini mungkin membebankan, adalah penting untuk terus kekal bersikap positif. Walaupun kita tidak dapat mengawal situasi di luar, kita mempunyai kawalan terhadap cara kita memberikan reaksi terhadap situasi tersebut. Dengan sikap yang positif, kita dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan pengawalan diri, seterusnya membantu mencapai keseimbangan yang lebih baik.
Untuk mencapai keseimbangan, kita juga perlu meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan tugas harian. Semakin cekap seseorang itu bekerja, semakin banyak masa yang dapat dijimatkan untuk aktiviti peribadi. Melalui penambahbaikan yang berterusan dalam kecekapan kerja, kita dapat menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat dan efisien. Lakukan penilaian kendiri secara berkala untuk mengenal pasti aspek yang perlu diperbaik dan berusaha untuk memperbaik pencapaian tersebut. Kecekapan adalah kunci untuk “mengosongkan” masa bagi tujuan peribadi, sekali gus membantu mengimbangi antara kehidupan dengan pekerjaan.
Mencapai keseimbangan kehidupan dengan kerja adalah impian bagi setiap individu. Namun begitu, perlu diingat bahawa keseimbangan ini tidak dapat dicapai dalam sekelip mata. Perkara ini merupakan proses berterusan yang memerlukan kesabaran dan usaha yang konsisten. Setiap individu perlu menyesuaikan strategi yang terbaik mengikut keadaan dan keperluan mereka sendiri. Walaupun proses ini mungkin mengambil masa, ganjarannya sangat berbaloi. Sama ada kita memilih untuk “bekerja untuk hidup” atau “hidup untuk bekerja”, kedua-duanya adalah penting. Semoga setiap usaha yang dilakukan untuk mencari keseimbangan ini akan membawa kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna pada masa hadapan.