Diterbitkan pada 4 Oktober 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Malaysia berhasrat mewujudkan ekosistem global dan tempatan semikonduktor di negara ini.

– Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucap utamanya di Persidangan SEMICON Asia Tenggara 2024.

Industri elektrik dan elektronik merupakan pemacu utama ekonomi Malaysia, terutamanya dengan peningkatan pelaburan yang diluluskan bagi industri ini melalui dorongan daripada polisi seperti Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat dan Strategi Semikonduktor Nasional. Hasil perkembangan yang dapat dinikmati hari ini adalah daripada asas yang dibina setengah abad lalu dan terus diperkukuh sehingga sekarang.

Pada tahun 1971, Zon Perdagangan Bebas (FTZ) ditubuhkan di Pulau Pinang melalui pewartaan Akta Zon Perdagangan Bebas 1971. FTZ Bayan Lepas, yang pertama ditubuhkan di Malaysia dibuka pada Ogos 1972. Lapan syarikat besar asing dikenali sebagai Samurai Berlapan, iaitu National Semiconductor, Advanced Micro Devices, Intel, Osram, Hewlett Packard, Bosch, Hitachi dan Clarion membuat pelaburan asing langsung dalam industri elektrik dan elektronik di Pulau Pinang pada tahun 1970-an. Dengan kewujudan Akta Zon Bebas 1990, zon-zon bebas di Malaysia turut berkembang menjadi Zon Perindustrian Bebas (FIZ).

Bagi premis yang tidak terletak di zon bebas secara khusus, syarikat pembuatan yang mengeksport sekurang-kurangnya 80% daripada pengeluaran mereka layak memohon status gudang pengilangan berlesen (LMW), di bawah Seksyen 65/65A Akta Kastam 1967. Oleh itu, syarikat baharu yang mempunyai premis mereka di luar FTZ dan FIZ kini kebanyakannya memohon status LMW untuk menikmati kebanyakan faedah yang terpakai kepada syarikat di zon tersebut.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, perjalanan industri elektrik dan elektronik menyaksikan banyak syarikat sokongan muncul untuk memenuhi permintaan rantaian bekalan firma-firma utama. Menurut kajian Growing with global production sharing: The tale of Penang export hub, Malaysia oleh P. Athukorala dan Government-business coordination and small enterprise performance in the machine tools sector in Malaysia oleh Rajah Rasiah, komponen logam, peralatan automasi, peralatan mesin, dan produk getah acuan adalah antara industri sokongan yang berkembang di Malaysia dalam tempoh ini. Walaupun pada awalnya kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terdiri dalam kalangan perusahaan asing, PKS domestik kemudiannya mengambil bahagian dan membentuk peranan yang lebih besar dalam industri-industri ini.

Pelaburan langsung asing oleh syarikat-syarikat multinasional menyumbang kepada perkembangan usahawan dan firma tempatan. Menurut rekod  Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pada tahun 2011, kita dapat melihat banyak firma-firma tempatan yang dibangunkan kesan daripada pemindahan teknologi dan kepakaran. Firma-firma ini termasuklah LKT Engineering, Globetronics, Shinca, Shintel, Unico, Loshita, dan BCM Electronics.

Menurut kajian oleh Rajah Rasiah berkaitan dengan industri elektrik dan elektronik pada tahun 2002, industri alat mesin banyak bergantung kepada limpahan daripada firma-firma besar elektrik dan elektronik, pemindahan teknologi daripada firma asing dan import serta teknologi yang dibangunkan dalam negara. Syarikat-syarikat multinasional menjadi pembeli keluaran dan pembekal teknologi kepada firma tempatan.

Pertumbuhan firma-firma tempatan meningkat selari dengan hubungan yang kukuh dengan syarikat-syarikat multinasional lain. Mengikut analisis UNCTAD pada tahun 2011, apabila sebuah syarikat tempatan, Globetronics meningkatkan keupayaannya dan telah membuktikan kejayaan, syarikat itu kemudiannya berjaya mendapat tawaran perniagaan daripada syarikat-syarikat multinasional seperti Intel, AMD, Agilent, STM, CREE, Epson, Toshiba dan Spansion.

Program pembangunan vendor dan promosi penyumberan tempatan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah memudah cara pertumbuhan firma-firma tempatan. Program ini penting bagi memastikan syarikat tempatan menerima limpahan daripada pelaburan langsung asing. Kajian oleh ahli ekonomi P. Athukorala dan Rajah Rasiah menunjukkan bahawa syarikat-syarikat seperti Polytool, Rapid Synergy, Metfab, Prodelcon, Choon Engineering dan Globetronics mendapat manfaat daripada program pembangunan vendor yang dilancarkan oleh syarikat multinasional utama yang beroperasi di Malaysia.

Pada tahun 1990-an, industri plastik dan kimia meningkatkan tahap keupayaan industri perindustrian. Beberapa firma tempatan menjadi pembekal kepada firma teknologi tinggi lain, beroperasi di dalam negara dan luar negara. Hubungan syarikat tempatan dengan syarikat asing diperkukuh dari semasa ke semasa dengan perkongsian teknologi dan pengetahuan.

Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) mengumumkan Malaysia menerima RM85.4 bilion pelaburan yang diluluskan dalam industri elektrik dan elektronik sepanjang tahun 2023. Pelaburan sektor elektrik dan elektronik menyumbang 56.2% daripada jumlah keseluruhan RM152 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan bagi tahun 2023. Rekod menggalakkan ini jelas mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan operasi pilihan firma-firma dalam industri ini. Malaysia telah mengukuhkan kedudukan sebagai pusat peralatan automatik serantau dan hab automasi.

Di samping itu, firma-firma domestik berkembang maju dalam segmen pembuatan peralatan elektronik untuk proses perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS). Syarikat tempatan terlibat dalam trend dan teknologi baharu termasuklah dalam rantaian bekalan 5G dan 6G, elektronik automotif dan kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui, dan peralatan semikonduktor. Selain itu, lebih banyak firma reka bentuk semikonduktor tempatan sedang berkembang dan dapat menyumbang kepada nilai tambah lebih tinggi rantaian nilai industri elektrik dan elektronik.

Tuntasnya, Malaysia telah mencapai pengalaman industri kumulatif yang luas dalam industri elektrik dan elektronik yang dibina dengan ekosistem kukuh dan mampan. Sebagai hasilnya, negara hari ini menikmati lonjakan kepesatan industri elektrik dan elektronik bertunjangkan asas yang dibina sejak lima dekad lalu.

 Penulis merupakan pensyarah kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi