Diterbitkan pada 27 September 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lazimnya, perniagaan atau urus niaga merupakan salah satu cabang pencarian pendapatan serta dapat meningkatkan ekonomi dan sumber pendapatan seseorang.  Perniagaan didefinisikan sebagai aktiviti yang melibatkan urus niaga jual beli barang atau perkhidmatan antara penjual dengan pembeli bagi memenuhi kehendak keperluan dan pengguna. Bahkan, perniagaan atau dalam bahasa Arabnya Tijarah juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak dan mendapatkan keuntungan.  Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud: “Sembilan daripada 10 rezeki itu adalah daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Namun demikian, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh manusia dalam kehidupan perlu dipupuk dengan nilai amanah dan tanggungjawab. Begitu juga dalam bidang perniagaan, terdapat etika yang perlu diamalkan ketika menguruskan perniagaan. Etika adalah satu daripada disiplin utama dalam falsafah kehidupan dan merupakan garis panduan yang perlu diamalkan agar tidak timbul permasalahan dalam urus niaga.

Dalam ajaran Islam juga digariskan perniagaan wajib mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan hadis. Perniagaan yang dilakukan haruslah atas kehendak pembeli dan penjual. Hal ini merangkumi urusan persetujuan seperti akad serta tiada unsur penganiayaan atau penipuan yang boleh merugikan sebelah pihak. Secara harfiahnya, peniaga yang baik biasanya akan sentiasa komited dengan urusan jualannya bagi mengekalkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang diniagakan.  Setiap peniaga perlu cakna akan tanggungjawab serta mengamalkan kod etika, iaitu sentiasa adil, jujur, bertanggungjawab dan berintegriti. Hal ini bagi memberikan nilai tambahan terhadap kepercayaan dan kesetiaan kepada jenama yang dijual dalam kotak ingatan pembeli demi kelestarian dan kemajuan perniagaannya.

Terdapat pelbagai isu yang melibatkan ketidakpatuhan etika dalam perniagaan, contohnya produk penjagaan kesihatan yang dijual oleh peniaga kepada pengguna bukan berdaftar dan tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Hal ini mengundang bahaya kepada kesihatan pengguna seperti pil pelangsing badan yang mengandungi bahan terlarang atau racun yang berbahaya dan boleh memberikan kesan terhadap tubuh badan pengguna, iaitu peningkatan toksik dalam badan, sesak nafas, keradangan hati, kerosakan buah pinggang, angin ahmar dan masalah jantung. Natijah mengambil ubat terlarang ini bukan sahaja mengundang komplikasi serius malah boleh mengakibatkan kematian.

Selain itu, sebahagian produk penjagaan kulit dan pemutihan badan juga mengandungi kandungan yang berbahaya jika digunakan tanpa kawalan, iaitu produk yang mengandungi bahan toksik seperti merkuri, hydroquinone, steroid, clobetasol propionate dan paraben. Kandungan yang berbahaya ini boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti masalah ruam, mengelupas, iritasi kulit, kulit menipis, kulit tampak gelap, kering dan bersisik, kerosakan buah pinggang, menganggu sistem saraf, menyebabkan pigmentasi kulit serta kanser kulit.

Kes isu kartel daging haram di Malaysia suatu ketika dahulu adalah akibat daripada kerakusan dan ketidakjujuran peniaga dalam mengaut keuntungan  sehingga mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna. Sikap tidak amanah dengan memalsukan logo halal dan kurangnya pemantauan yang menyeluruh daripada pihak berkuasa tempatan mengundang parah, gundah dan gelisah kepada pengguna.

Isu stoking yang tular kerana tertera dengan cetakan kalimah ‘Allah’ yang dijual di salah sebuah premis perniagaan tempatan telah mengundang kemarahan orang Islam di Malaysia. Permasalahan ini mengundang polemik besar kerana bukan sahaja menyentuh sensitiviti agama dan kaum tetapi juga mengancam keharmonian, perpaduan dan kemakmuran antara kaum dan agama di negara ini.

Oleh hal yang demikian, setiap peniaga perlu menambah ilmu bukan sahaja dalam tadbir urus perniagaan yang bermotifkan keuntungan atau menjana pendapatan semata-mata tetapi juga etika dalam perniagaan. Pada hakikatnya, kepentingan menjaga hati pelanggan atau pembeli harus diambil kira. Bak kata pepatah “Pelanggan ialah Raja.” Justeru, sebarang tindakan memperdaya atau mengelirukan pelanggan dengan menggunakan pelbagai taktik, manipulasi atau penipuan demi mengaut keuntungan berlebihan adalah salah dan di luar norma kod etika perniagaan.

Yang berikut adalah etika atau tatacara perniagaan berlandaskan syariat Islam:

  1. Berniaga kerana ALLAH SWT

Sudah menjadi lumrah bagi setiap orang Islam memasang niat dalam melakukan sesuatu perkara yang diinginkan. Begitu juga dalam memulakan perniagaan, kita harus meletakkan niat yang betul untuk berniaga dan mempunyai akad jual beli. Apabila sudah berusaha, pastinya kita menyerahkan urusan perniagaan yang dijalankan kepada ALLAH SWT dengan harapan agar segala urusan perniagaan dipermudah serta dipelihara-Nya.

  1. Menjual Produk Halal

Etika niaga menurut Islam pastinya menegaskan barangan yang dijual merupakan sumber yang halal atau dikenali sebagai halalan toyyibban. Produk, isi kandungan yang dijual atau perkhidmatan yang disediakan perlulah selamat daripada unsur atau sumber tidak halal, yang boleh mendatangkan perasaan was-was atau syubhah dan memudaratan kesihatan pengguna. Hal ini penting bagi memastikan perniagaan yang kita jalankan daripada sumber yang halal, bersih, diberkati dan berpanjangan.

  1. Jujur dan Integriti

Bagi menjamin perniagaan terus berkembang maju, peniaga perlulah bersikap telus, jujur dan berintegriti dalam perniagaan. Sebagai contohnya, meletak tanda harga pada produk yang dijual. Elakkan menjual barang yang tidak berkualiti dan bukan asli atau tiruan. Peniaga perlu sentiasa beringat apabila berlaku ketidakjujuran, memanipulasi, menyembunyikan kecacatan pada produk atau sebarang penipuan berlaku antara peniaga dan pelanggan, maka kepercayaan pelanggan untuk membeli akan mulai terhakis. Imej dan kepercayaan perlu disemai dan dijaga secara berterusan bagi mengelakkan isu menjadi tular yang akhirnya boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti peniaga.

  1. Menjaga Sensitiviti

Para peniaga harus cakna dan sentiasa menjaga sensitiviti bagi mengelakkan isu agama dan perkauman. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya. Produk atau perkhidmatan yang djual kepada pembeli atau pengguna semestinya bukan sahaja bebas daripada sebarang pengaruh buruk atau sentimen agama tetapi juga tidak menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk. Peniaga perlu bertanggungjawab mengenal pasti isi kandungan dengan menyediakan label barang atau kandungan yang terperinci bagi sesebuah produk seperti produk penjagaan kesihatan, produk penjagaan kulit dan badan serta menyemak corak atau perlambangan barang yang diniagakan di pasaran.

  1. Menjauhi Sikap Menindas Pembeli 

Peniaga perlu bersikap telus dan adil dalam mengenakan harga yang berpatutan.  Sentiasa cakna, iaitu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna dengan tidak menindas pembeli atau mengenakan harga ‘cekik darah’.  Sikap tanggungjawab dan bermoral perlu ada dalam kalangan peniaga bagi memastikan pembeli atau pengguna berpuas hati dalam urusan pembelian.  Hal ini juga bagi mengelakkan kos inflasi meningkat dan memberikan kuasa membeli seadilnya kepada seluruh rakyat Malaysia.

  1. Memberikan Layanan yang Saksama 

Peniaga juga diingatkan untuk memberikan layanan yang saksama kepada semua masyarakat tanpa mengira status, kaum, darjat dan tidak berat sebelah termasuklah terhadap Orang Kurang Upaya. Hal ini bagi memastikan peniaga memberikan perkhidmatan yang berkualti, bersopan santun, bertimbang rasa dan tidak memaksa ketika berurusan dengan pembeli tanpa mengira kepentingan pada perniagaannya.

Tidak semua pengguna sedar dan tahu akan hak mereka sebagai pengguna.  Sentiasa lindungi diri daripada menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Pengguna yang bjak  ialah mereka yang tidak lemah, menyedari akan haknya dan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk melindungi hak mereka.

Sehubungan itu, pengguna berhak mendapatkan maklumat yang diperlukan dan membuat pilihan tepat daripada iklan dan label yang sahih dan jelas selain memilih barangan dan perkhidmatan dengan harga yang berpatutan serta dijamin kualitinya.

Literasi pendidikan tentang hak kepenggunaan perlu dilaksanakan bagi memberikan maklumat, ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada orang ramai selaku pengguna.  Masyarakat perlu cakna dengan sistem perundangan yang mengawal selia dan melindungi hak mereka sebagai pengguna.  Usaha memberikan kesedaran kepada kepenggunaan ini selaras dengan dasar Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan prinsip kesejahteraan, membina kemapanan, keyakinan dan rasa hormat dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi melahirkan urus niaga yang bersih.

Tuntasnya, peniaga perlu tahu tanggungjawab mereka bukan sahaja berniaga untuk meraih pendapatan sahaja tetapi juga peka dengan etika dan prinsip perniagaan bagi menjamin persaingan yang sihat dan hak pembeli dijaga demi kemaslahatan bersama.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi