Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia perlu mempunyai tekad untuk bergerak lebih pantas dengan segala keupayaan yang dimiliki demi mencapai prestasi yang lebih baik dalam Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) walaupun kedudukan pelaksanaannya di negara ketika ini agak menggalakkan, iaitu sebanyak 43% daripada 248 petunjuk SDG berbanding dengan purata pencapaian dunia sekitar 17%.
Jika keputusan kita hanya berasaskan kepentingan keuntungan atau kelangsungan hidup, daya saing, pertimbangan ekonomi atau keperluan ekonomi semata-mata, sudah tentu kita tidak akan mampu mencapai matlamat SDG ini.
Demikian menurut YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmiannya bersempena dengan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 (Malaysia SDG Summit 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Ujar beliau lagi,
Jika kita memahami cabaran zaman pascanormal yang memerlukan kita menangani isu-isu terkini seperti migrasi, bencana besar disebabkan oleh kegagalan untuk menangani perubahan iklim, keputusan politik pemimpin yang mengabaikan belas ihsan dan keadilan, maka pendekatan kita harus berubah.
Beliau menekankan, ekonomi, pembangunan dan kemapanan tidak bermakna jika tiada kefahaman berkaitan dengan ihsan, kemanusiaan, keadilan dan keselamatan termasuklah persekitaran dan iklim. Justeru, matlamat SDG dan Ekonomi MADANI dirangka untuk menanam semangat dan kekuatan bagi melaksanakan perubahan selari dengan tuntutan semasa.

Peringatan al-Quran turut disentuh oleh beliau berkaitan dengan fasad fil ard (kerosakan di dunia) dan ummatan wasatan (umat yang pertahankan keseimbangan), iaitu kerosakan alam yang tidak terkawal akibat sikap manusia yang rakus memunggah kekayaan.
Sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari ini menzahirkan komitmen kerajaan dan landasan yang kukuh untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Agenda 2030). Sidang ini juga bertujuan untuk menyelesaikan cabaran terkini serta memupuk sifat kesejahteraan yang lestari demi kebaikan semua lapisan masyarakat.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato Lukanisman Awang Sauni; Ketua Audit Negara, YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron, perwakilan asing dan pegawai-pegawai kanan kementerian.