Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan (CONG) menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) Masterclass 2024 selama dua hari bermula hari ini hingga 20 Ogos 2024 di Shangri-La Kuala Lumpur.
Persidangan ini bertemakan “Menentang Jenayah Kewangan dan AML/CTF/CPF: Tinjauan Teknikal Mendalam”.
Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Marzunisham Omar, dalam usaha memerangi jenayah kewangan, tindakan pantas institusi kewangan boleh memberikan impak besar yang mendorong kepada penubuhan platform seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Platform Risikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTIP).
Platform ini bukan sahaja mengumpulkan peserta kewangan atau agensi penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga pihak berkepentingan utama seperti syarikat telekomunikasi. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan hubungan dan interaksi yang membolehkan kita mengikuti perkembangan serta bertindak pantas dalam persekitaran yang kritikal dari segi masa.
Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim pula berkata, peranan institut kewangan penting dalam melindungi sistem kewangan negara. Oleh itu, tindakan yang penting adalah dengan membina keupayaan tenaga kerja perbankan yang boleh menjangka, menghalang dan menangani jenayah kewangan yang semakin canggih dengan berkesan.
Dalam usaha memperkasakan ahli AICB untuk menghadapi cabaran ini, AICB akan terus menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan latihan semula. AICB juga melancarkan beberapa kursus baharu yang direka khusus untuk memperkukuh keupayaan ahli dalam bidang utama perbankan dalam era digital ini.
Tambah beliau lagi, AICB juga melancarkan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan pertama untuk sektor kewangan Malaysia yang direka khusus untuk menggalakkan penguasaan kemahiran, menyokong pembelajaran berterusan, meningkatkan mobiliti bakat, dan memudahkan tenaga kerja yang lebih bersedia untuk masa depan, sekali gus meningkatkan tahap kecemerlangan profesional dan memajukan pertumbuhan sektor kewangan Malaysia.
Menurut Faradina Ghouse, Pengerusi Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan (CONG), memerangi jenayah kewangan memerlukan kerjasama yang kukuh dan bersatu.
Industri kewangan, pengawal selia, agensi penguatkuasaan dan organisasi global yang berkaitan mesti bekerjasama dalam usaha ini kerana hanya melalui tindakan kolektif dan perkongsian kepakaran, kita dapat menentang ancaman ini dengan berkesan dan melindungi integriti sistem kewangan kita.
IFCTF ini diadakan bertujuan memupuk persekitaran kolaboratif yang menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam dan merangsang pemikiran inovatif melalui sesi yang diterajui oleh pakar bidang global dan serantau yang terkemuka.