Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Kerajaan telah mengenal pasti empat buah negeri yang berpotensi menjadi peneraju dalam industri pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) di negara ini, iaitu Terengganu, Sabah, Sarawak dan Pahang.
“Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan negeri ini untuk memastikan semua perancangan berjalan dengan baik dan pelaksanaan awal akan bergantung pada kesediaan komersial setiap projek,” jelas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama kerajaan Terengganu mengenai pelaksanaan inisiatif CCUS di Malaysia di Wisma Darul Iman semalam.
Empat buah negeri ini dipilih berikutan kesemua negeri berkenaan mempunyai telaga minyak yang sudah tidak digunakan dan turut memiliki kemudahan terminal sedia ada bagi menjalankan CCUS.
Menurutnya, pada masa ini, kerajaan sedang menyiapkan rang undang-undang berkaitan dengan CCUS sebelum dibentangkan di Parlimen pada November ini, dengan matlamat untuk memastikan keputusan penting mengenai pelaksanaan industri tersebut di Malaysia dapat dimuktamadkan pada tahun 2025.
Di samping itu, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang terlibat juga berperanan sebagai pemudah cara antara pengendali industri CCUS seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan pelanggan termasuk pelabur asing.
CCUS antara projek rintis dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan yang merupakan industri berimpak tinggi dan dijangka memberikan limpahan ekonomi kepada negeri yang terlibat.
Jelasnya lagi, Terengganu merupakan negeri yang berpotensi menjadi peneraju dalam pelaksanaan CCUS, memandangkan terdapat telaga minyak di luar pesisir pantai dan fasiliti terminal yang sedia ada di Kerteh.
Kita sedia maklum bahawa pelaburan untuk setiap kemudahan CCUS yang lengkap, dari terminal hingga ke luar pesisir pantai, biasanya dalam lingkungan RM20 bilion. Ini merupakan potensi pelaburan yang boleh membawa kesan limpahan ekonomi kepada Terengganu jika berjaya diuruskan dengan baik.
Di peringkat kerajaan Persekutuan, Kerteh dilihat berpotensi untuk dikembangkan melebihi daripada industri berasaskan petrokimia dan minyak yang sedia ada serta CCUS dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan industri berat baharu di Terengganu.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan bahawa kerajaan negeri melalui entiti dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas untuk melibatkan GLC atau entiti daripada kerajaan negeri sebagai rakan kongsi kepada syarikat minyak dan gas itu dalam industri CCUS.
Isu CCUS ini besar dan penting bagi Terengganu supaya ekosistem yang kita bangunkan di negeri ini dapat memberikan pulangan dan hasil kepada negeri sendiri. Sudah tentu, isu ini juga penting untuk Malaysia di peringkat antarabangsa.
Teknologi CCUS merupakan antara kaedah penting dalam mengurangkan pelepasan CO2 dan dapat membantu negara mencapai objektif Perjanjian Paris. Teknologi ini akan digunakan untuk memerangkap dan menyimpan kekal karbon dioksida (CO2) daripada punca pelepasan CO2 yang utama khususnya bagi industri tertentu.