Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIndustri francais negara kekal teguh dengan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 15 peratus dalam tempoh lima tahun lalu. Nilai industri ini dijangka melonjak sehingga melebihi RM46 bilion menjelang tahun depan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan sebagai komponen penting ekonomi negara. Pertumbuhan sejak lima tahun lalu merupakan bukti kepada daya tahan dan potensi industri francais di Malaysia yang terus menarik minat usahawan dan pelabur.
Secara tidak langsung meletakkan sumbangan industri ini sebagai satu daripada instrumen untuk merangsang ekonomi negara dan pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pada tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyasarkan peratusan peningkatan kadar pertumbuhan nilai jualan bagi industri francais sebanyak 20 peratus.
Jika dahulu industri francais didominasi oleh sektor makanan dan minuman, kini dominasi itu turut merangkumi sektor rawatan kecantikan dan kesihatan; pakaian dan aksesori; perkhidmatan dan penyelenggaraan; kedai serbaneka dan pasar raya; pusat pembelajaran dan asuhan; dan IT, telekomunikasi dan elektronik seperti yang dipaparkan dalam Jadual 1. Malaysia patut berbangga kerana 68 jenama francais tempatan sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan bertapak di lebih 70 buah negara. Arab Saudi menjadi negara terbanyak mempunyai cawangan jenama francais Malaysia, iaitu sebanyak 744 buah, diikuti Indonesia sebanyak 670 buah dan Amerika Syarikat sebanyak 424 buah.
Berdasarkan perkembangan kadar pertumbuhan industri ini sejak lima tahun lepas, jenama francais tempatan dijangka mampu meneroka dan mengembangkan lagi sayap di persada antarabangsa, sekali gus turut dapat mempamerkan budaya dan warisan Malaysia di persada global di sebalik jenama sesebuah syarikat tersebut. Industri francais telah berkembang pada tahap membanggakan sehingga menjadi signifikan yang mendorong pengantarabangsaan perniagaan dan nilai yang lebih tinggi daripada urus niaga ini telah memanfaatkan komuniti perniagaan di peringkat antarabangsa. Disebabkan itu, fokus dan komitmen yang tinggi pihak berwajib terhadap industri ini amat diperlukan agar perkembangannya dapat terus diperkukuh lagi.
Rajah 1: Syarikat Francais Berdaftar Mengikut Sektor
| Tahun/
Sektor |
Makanan dan Minuman
|
Pakaian dan Aksesori | Perkhidmatan dan Penyelenggaraan | Pusat Pembelajaran dan Asuhan | Rawatan Kecantikan dan Kesihatan | Kedai Serbaneka dan Pasar Raya | IT, Telekomunikasi dan Elektronik | Lain-lain | Jumlah |
| 2018 | 35 | 1 | 8 | 3 | 3 | 0 | 0 | 2 | 52 |
| 2019 | 36 | 2 | 14 | 4 | 1 | 0 | 0 | 1 | 58 |
| 2020 | 27 | 1 | 16 | 4 | 3 | 3 | 0 | 2 | 56 |
| 2021 | 24 | 3 | 9 | 3 | 3 | 2 | 2 | 5 | 51 |
| 2022 | 22 | 4 | 14 | 8 | 4 | 3 | 1 | 9 | 65 |
| 2023 | 55 | 5 | 18 | 16 | 11 | 5 | 8 | 6 | 124 |
| Jumlah | 199 | 16 | 79 | 38 | 25 | 13 | 11 | 25 | 406 |
Sumber: Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung
Industri francais Malaysia sudah melakukan lonjakan besar sejak kerajaan memperkenalkan Pelan Tindakan Pembangunan Francais Negara pada tahun 2016 yang merangkumi arah tuju, peningkatan daya saing dan transformasi perniagaan menerusi pembiayaan dana. Industri ini telah bergerak ke hadapan dengan kepelbagaian sektor dan telah mempamerkan daya tahan yang mengagumkan dalam mengharungi cabaran ekonomi dalam negara mahupun global. Hasilnya, semakin banyak jenama francais tempatan yang telah menarik minat pasaran antarabangsa yang lebih luas kerana mampu menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.
Selain membawa jenama francais tempatan ke peringkat antarabangsa, Malaysia juga sentiasa mengalu-alukan francaisor di seluruh dunia untuk menjalankan perniagaan di negara ini dengan mengamalkan dasar profrancais seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab francais di ASEAN. Usaha membawa lebih banyak francais luar ke dalam negara semakin agresif dilakukan bagi meningkatkan kesan perniagaan ini kepada ekonomi negara. Setakat 30 September 2023, 25 buah syarikat francais asing mengikut milikan telah berdaftar di Malaysia.
Pertumbuhan industri francais yang memberangsangkan sejak lima tahun kebelakangan ini dalam menjanakan pertumbuhan ekonomi negara akan dapat membantu memakmurkan dan memanfaatkan negara, pemain industri dan masyarakat secara keseluruhannya. Sesungguhnya negara memerlukan lebih ramai usahawan yang mahu dan mampu mentransformasikan perniagaan sedia ada mereka kepada perniagaan francais dalam memacu pertumbuhan ekonomi sejajar objektif kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Sejajar dengan itu, program Transformasi Perniagaan (BIT) telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu usahawan sedia ada mengembangkan perniagaan sehingga ke arah perniagaan francais. Melalui program BIT, usahawan akan dirangsang dan dibimbing untuk menaik taraf perniagaan mereka dari segi imej, kualiti produk atau perkhidmatan dan konsep perniagaan. Program BIT memfokuskan pembangunan perniagaan mikro bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui francais.
Dua inisiatif baharu, iaitu Projek Xcelerator dan Projek Be Your Own Boss (BYOB) yang menyasarkan lima orang usahawan francais tempatan dan 1,000 francais telah diperkenalkan oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas). Sebanyak RM35 juta telah diperuntukkan untuk program BIT bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing dengan memperkukuh lagi penyertaan usahawan bumiputera, belia, wanita dan siswazah dengan menawarkan panduan dan latihan komprehensif, pembiayaan serta akses kepada pasaran semasa. Contohnya, Pernas sudah membangunkan sebanyak 127 perniagaan prafrancais dengan usahawan dilatih untuk mengembangkan perniagaan mereka menjadi jenama francais tempatan yang berjaya.
Menerusi model Francais Mikro dan Mampu Milik, program ini memberikan peluang kepada usahawan mengembangkan perniagaan di samping memberikan ruang kepada lebih ramai usahawan francais generasi muda untuk menceburkan diri kerana modal permulaan dan kos pakej francais lebih rendah, iaitu RM50,000 (Francais Mikro) dan RM100,000 (Francais Mampu Milik). Hal ini bagi memastikan bebanan modal permulaan serta kos pakej francais yang tinggi sebelum ini dapat diatasi dan bukan lagi penghalang usahawan untuk menceburi perniagaan francais. Jika sebelum ini, modal besar sehingga ratusan ribu ringgit diperlukan untuk yang berminat melabur dalam perniagaan francais. Dengan dua model ini, persepsi tentang perniagaan francais ialah perniagaan kayangan yang memerlukan modal permulaan besar sehingga tidak mampu disertai golongan muda dapat “dilenyapkan”.
Dalam menjayakan kesemua usaha yang telah diperkenalkan kerajaan dalam membangunkan industri francais negara, usahawan atau bakal usahawan yang mempunyai wawasan untuk mengembangkan perniagaan dan keupayaan berfikir secara kreatif atau inovatif amat ditagih. Peluang ini perlu direbut kerana perniagaan francais dilihat pilihan terbaik bagi mereka yang mahu menceburi perniagaan kerana proses yang sistematik dan mempunyai penyediaan manual perniagaan dengan garis panduan oleh francaisor. Perniagaan di bawah industri ini lebih mudah untuk dimulakan khususnya dalam kalangan bakal usahawan lepasan institusi pengajian tinggi. Usahawan mikro sedia ada pula perlu berani mengambil langkah proaktif untuk menceburi industri francais ini.
Dengan hasil jualan industri francais yang semakin meningkat saban tahun, industri ini mempunyai potensi besar untuk diteroka dan direbut peluangnya. Hingga Disember 2022, industri francais negara telah merekodkan sebanyak 1,197 buah syarikat francaisor berdaftar dengan 713 daripadanya ialah syarikat francaisor tempatan manakala 428 buah merupakan syarikat francaisor luar negara.
House of Healing, Gintell, Chatime, Gloria Jean’s Coffees, Marry Brown, Shell Our, TeaLive, Little Caliphs, Smart Reader Kids, Genius Aulad dan Siti Khatijah merupakan antara jenama francais tempatan terkenal yang sudah pun menjadi nama besar yang sering bermain dalam fikiran dan menjadi sebutan di bibir masyarakat Malaysia. Tanamkan tekad dan azam untuk menjadikan jenama kita seperti jenama-jenama ini.