Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM30 juta dalam Misi Perdagangan Francais ke Bangkok yang berlangsung pada 10 hingga 13 Julai 2024 bersempena dengan Thailand Franchise Business Opportunities Expo (TFBO) 2024 di Bangkok International Trade & Convention Centre (BITEC), Bangkok, Thailand.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick yang mengetuai misi selama tiga hari dan akan berakhir pada hari ini bertujuan untuk mempromosikan syarikat francais jenama tempatan ke peringkat antarabangsa khususnya di Thailand yang mempunyai potensi pasaran besar dengan jumlah penduduk sebanyak 71.6 juta orang.
Dalam misi tersebut, YB Menteri berkesempatan merasmikan Pavillion Francais Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan oleh tujuh buah syarikat yang terdiri daripada sektor makanan, pendidikan, teknologi dan perkhidmatan di TFBO 2024. Syarikat yang menyertai misi ini ialah D’ Tandoor, FatNinjas, Global Art, IrisPro, MuzArt, Myeongdong Topokki dan Cleanpro.

Menurut KUSKOP, YB Menteri turut menghadiri perbincangan meja bulat bersama-sama pihak industri francais di Thailand bagi membincangkan perkembangan francais di kedua-dua buah negara dan mempertingkatkan kerjasama pada masa hadapan.
Jelas KUSKOP,
Semasa lawatan ini, YB Menteri mengadakan pertemuan bersama dengan pihak industri, diaspora Malaysia dan wakil Malaysia di Bangkok, Thailand selain lawatan kerja ke syarikat francais Cafe Amazon, milik syarikat Thailand dan juga ke Laundrybar, syarikat francais Malaysia yang telah beroperasi di Thailand.
Inisiatif ini merupakan kolaborasi KUSKOP bersama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA), Kedutaan Malaysia di Thailand melalui Kementerian Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Usaha ini bagi merealisasikan Perancangan Strategik KUSKOP 2024 yang bertemakan Usahawan MADANI, Memacu Ekonomi selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia MADANI di bawah tonggak nilai “kesejahteraan” yang membawa makna keseimbangan kehidupan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.