Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada awal tahun 2020, banyak perdebatan kedengaran tentang definisi ekonomi jangka pendek/pekerja bebas atau banyak yang lebih gemar memanggilnya ekonomi gig. Apakah sebenarnya ekonomi jangka pendek? Mengapakah jenis pekerjaan ini menjadi popular selepas dunia dilanda pandemik COVID-19?
Menurut World Economic Forum, jutaan pekerja di dunia bekerja untuk tempoh lima jam hingga sembilan jam pada setiap hari dengan satu majikan untuk mendapatkan satu punca pendapatan tetap yang akan diperoleh pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, keadaan itu kini berubah apabila pekerja kini berlumba-lumba mengimbangi pelbagai aliran pendapatan dan bekerja secara bebas tanpa bergantung pada satu majikan.
Jika anda pernah menggunakan aplikasi untuk menghubungi pemandu teksi seperti perkhidmatan Grab atau Maxim, menempah sewaan percutian seperti hotel, membuat pembelian barangan keperluan menggunakan perkhidmatan secara dalam talian dan memesan makanan menggunakan aplikasi yang disediakan, hal ini bermaksud anda sudah berada dalam segmen ekonomi gig atau lebih dikenali sebagai ekonomi jangka pendek.
Menurut pentadbiran kerajaan di United Kingdom, ekonomi jangka pendek melibatkan pertukaran buruh untuk wang, iaitu antara individu dengan syarikat melalui platform digital yang secara aktif memudahkan kerjasama antara penyedia dengan pelanggan. Hal ini berlaku dalam tempoh jangka pendek dan pembayaran (upah/pendapatan) yang diterima adalah mengikut tugas yang dilaksanakan.
Di Malaysia, ekonomi jangka pendek berkembang dengan pantas disebabkan ekonomi ini mampu menjana lebih banyak pendapatan berbanding dengan sektor lain. Secara umumnya, terdapat tiga komponen utama dalam ekonomi jangka pendek. Pertama, pekerja bebas dibayar berasaskan tugas tertentu. Kedua, pelanggan menginginkan perkhidmatan yang spesifik. Ketiga, syarikat membina medium bebas antara pekerja dengan pelanggan menerusi platform aplikasi teknologi seperti GrabFood, Foodpanda, serta perkhidmatan penghantaran seperti Grab dan MyCar.
Pada hakikatnya, tiada garis panduan yang khusus untuk menerangkan pekerjaan dalam ekonomi jangka pendek ini. Walau bagaimanapun, hal tersebut boleh disimpulkan kepada beberapa ciri, iaitu sistem kerja tanpa kontrak; pekerja mempunyai masa yang fleksibel tanpa terikat dengan waktu normal bekerja; dan pekerja bebas menyelesaikan pekerjaan.
Perkembangan Ekonomi Gig di Malaysia
Hingga Disember 2023, perkembangan ekonomi jangka pendek Malaysia dilaporkan menunjukkan pertumbuhan yang sihat walaupun aktiviti isi rumah dan perniagaan telah dinormalisasikan selepas pandemik COVID-19. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan meningkatnya kesedaran terhadap potensi pendigitalan dan pelbagai insentif yang menyokong peralihan ekonomi, maka ekonomi jangka pendek turut menerima kesan yang positif.
Dilaporkan bahawa pada suku ketiga tahun 2023, saiz pasaran ekonomi jangka pendek di negara ini berjumlah RM1.33 bilion. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz, saiz pasaran pada tempoh itu sudah mencapai kira-kira 80 peratus daripada saiz pasaran sepanjang tahun 2022, iaitu sebanyak RM1.63 bilion. Sudah tentu, pertumbuhan tersebut disokong oleh permintaan pasaran yang berterusan daripada segmen isi rumah dan perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Menurut MDEC, terdapat lebih daripada 100,000 individu baharu yang menyertai dan memperoleh pendapatan melalui platform ekonomi jangka pendek di Malaysia berbanding dengan 266,222 individu pada tahun 2022. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 140 platform ekonomi jangka pendek yang disahkan oleh MDEC yang melibatkan pelbagai aktiviti melangkaui e-panggilan (e-hailing) dan p-panggilan (p-hailing) seperti penjagaan kesihatan, automotif, perkhidmatan domestik, perkhidmatan kreatif dan profesional.
Ternyata ekonomi jangka pendek dapat memanfaatkan pekerja, perniagaan dan pengguna dengan menjadikan pekerjaan yang lebih sesuai dengan keperluan semasa dan permintaan untuk gaya hidup yang fleksibel. Dalam era digital, pekerja tidak perlu duduk di lokasi tetap kerana pekerjaan boleh dilakukan dari mana-mana lokasi sahaja. Maka itu, majikan boleh memilih calon terbaik yang untuk melaksanakan tugas/perkhidmatan atau projek tanpa terikat dengan geografi.
Dari sisi yang lain, ekonomi jangka pendek juga didapati dapat memenuhi keperluan generasi muda terutamanya generasi milenium. Hal ini dikatakan kerana mereka mempunyai sikap yang agak berbeza terhadap kerjaya. Mereka berusaha untuk melakukan kerja yang mereka mahu lakukan berbanding dengan mempunyai kerjaya yang mungkin tidak memenuhi keinginan mereka. Maka itu, mereka sanggup melepaskan beberapa jaminan kewangan untuk menjalani kehidupan dengan syarat yang mereka tetapkan sendiri. Lebih menarik, pelajar juga boleh melibatkan diri dalam sektor ini selepas waktu pembelajaran atau pengajian mereka untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
Sokongan Terhadap Ekonomi Gig
Banyak usaha telah dilakukan untuk menyokong perkembangan ekonomi jangka pendek di negara ini antaranya termasuklah penubuhan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian Nasional yang telah dibentuk sebagai jawatankuasa penyelaras berpusat dan penyelesaian masalah untuk menyokong pertumbuhan perniagaan ekonomi jangka pendek sambil melindungi kepentingan pekerja ekonomi jangka pendek dan pengguna secara amnya.
Selain itu, terdapat juga usaha yang berterusan oleh kerajaan melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Ekonomi Perkongsian dalam membangunkan standard industri yang berkaitan dengan tujuan untuk menggalakkan operasi platform digital yang lebih dipercayai sekali gus membimbing semua pihak berkepentingan dalam memahami model ekonomi perkongsian.
Bank Dunia dalam laporan yang bertajuk, “Working Without Borders-The Promise and Peril of Online Gig Work” telah mengiktiraf Malaysia sebagai satu daripada negara yang berjaya memanfaatkan ekonomi jangka pendek untuk meningkatkan akses kepada pekerjaan, terutamanya dalam kalangan wanita dan belia melalui inisiatif yang disasarkan seperti e-Rezeki dan Tenaga Kerja dalam Talian Global (GLOW) oleh MDEC.
GLOW merupakan sebuah program untuk rakyat Malaysia yang bercita-cita untuk menjadi pekerja bebas digital sebagai kerjaya. Hingga kini lebih daripada 80 acara telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara dan GLOW telah berjaya melatih lebih daripada 10,000 orang peserta, termasuk pekerja bebas digital dan pekerja ekonomi jangka pendek. Jumlah ini meningkat sekali ganda berbanding dengan lebih 5,000 orang peserta yang dilatih pada tahun 2022.
Terkini, pada 4 Julai lalu, kerajaan mengumumkan menjadi negara terawal yang bakal menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi (GIG) bagi membela nasib 1.16 juta pekerja industri itu yang tidak memiliki perlindungan sosial.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata bahawa inisiatif kerajaan itu merupakan rentetan daripada pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera yang lalu. Dalam ucapannya, beliau mahu GIG diwujudkan di negara ini. Tambahnya lagi, walaupun Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menambah luas perlindungan sosial, namun hanya 250,000 orang pekerja p-panggilan dan e-panggilan memiliki perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Untuk itu, keputusan yang kami lakukan adalah dengan pelaksanaan satu akta baharu yang akan dibentangkan oleh Kesuma yang mencakupi soal perlindungan pekerja GIG. Tarikh sasaran untuk bacaan kali pertama akta baharu ini adalah pada sidang Parlimen Oktober hingga Disember ini. Suruhanjaya ini akan ditubuhkan secara formal dan akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Suruhanjaya GIG bukan hanya meliputi pekerja e-panggilan dan p-panggilan sahaja, tetapi meliputi pekerja separa masa dan kerja separa profesional,” ucap Perdana Menteri.
Sementara itu, menurut Ahmad Zahid, suruhanjaya yang bakal ditubuhkan kelak juga akan meliputi Akta 789, iaitu Akta Bekerja Sendiri. Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KESUMA akan membentangkan kertas Kabinet memorandum Jemaah Menteri kira-kira dua minggu dari sekarang bagi perwujudan akta dan beberapa aspek ekonomi GIG secara holistik.
Ternyata perkembangan yang berlaku ini merupakan satu perubahan ke hadapan yang dilakukan oleh kerajaan kerana jika diamati terdapat beberapa buah negara sahaja di dunia yang telah melaksanakan akta atau Suruhanjaya GIG. Antaranya termasuklah Amerika Syarikat di California, dan India serta beberapa buah negara jiran yang sedang merangka strategi untuk turut melaksanakannya.
Dengan sokongan yang berterusan dan perkembangan yang menggalakkan terhadap ekonomi jangka pendek di negara ini, banyak penganalisis ekonomi menjangkakan bahawa prospek ekonomi jangka pendek akan terus menjadi segmen terpenting yang mendapat perhatian rakyat di negara. Lebih penting lagi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga akan terus dipacu oleh ekonomi jangka pendek yang juga telah terbukti membantu meningkatkan pendapatan tambahan kepada rakyat Malaysia sekali gus mengurangkan jumlah pengangguran yang sedia ada.