Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam memajukan transformasi digital untuk International Olympic Committee (IOC), Alibaba Cloud telah membangunkan teknologi digital bagi kejohanan Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk Gangwon 2024 (Gangwon 2024).
Sebagai rakan kongsi perkhidmatan awan rasmi IOC, Alibaba Cloud terus merencana Gangwon 2024 dengan lebih cekap dan memaksimumkan pelibatan peminat sukan dengan menggunakan teknologi awan terbaharunya.
Sebagai Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk pertama di Asia, Jawatankuasa Penganjur Gangwon 2024 telah menggunakan platform utamanya untuk pengoperasian, termasuk portal pengurusan kakitangan dan sistem tiket yang melibatkan infrastruktur awan berskala serta selamat untuk mengoptimumkan kecekapan.
Dengan memanfaatkan teknologi inovatif Alibaba Cloud, Gangwon 2024 bersedia untuk meningkatkan pengalaman dalam kalangan peserta termasuk kakitangan dan sukarelawan, penonton serta peminat sukan dari seluruh dunia.
Menurut Pengarah Urusan Televisyen dan Perkhidmatan Pemasaran IOC, Anne-Sophie Voumard Gangwon 2024 akan memanfaatkan sukan untuk menghimpunkan golongan muda yang berbakat besar dari seluruh dunia.
Perkongsian berterusan dengan Alibaba Cloud membolehkan Gangwon 2024 terus meneroka cara kreatif bagi melibatkan diri dengan penonton di seluruh dunia dan peminat sukan sambil meningkatkan kecekapan operasi dengan menggunakan teknologi awan terkini. Sementara itu, Presiden Perniagaan Antarabangsa di Alibaba Cloud Intelligence, Selina Yuan berkata;
Kami membina perkongsian TOP dengan Sukan Olimpik sejak tahun 2017 dan kini kami sedang mengembangkan penyelesaian untuk memacu transformasi digital acara sukan berskala besar. Pada Gangwon 2024, teknologi kami bukan sahaja akan menjadikan penganjuran acara lebih cekap, tetapi juga memberikan peserta, termasuk atlet, kakitangan, sukarelawan, dan peminat sukan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk Gangwon 2024 akan berlangsung di wilayah paling utara di Korea Selatan mulai 19 Januari hingga 1 Februari 2014. Acara sukan gemilang ini bakal menghimpunkan lebih 1900 orang atlet muda berumur antara 15 hingga 18 daripada 81 buah negara dan wilayah untuk mengambil bahagian dalam 15 disiplin sukan termasuk Alpine Skiing dan Curling.
Infrastruktur awan berskala besar ini diyakini akan berupaya meningkatkan kecekapan operasi setiap acara. Sebagai tindak balas terhadap permintaan Jawatankuasa Penganjur Gangwon 2024 untuk lebih diperkemas dan platform penyelarasan yang dapat diakses, Alibaba Cloud menubuhkan portal Staff and Volunteer Management (SVM) yang menyediakan ciri yang signifikan, termasuk kakitangan dan latihan sukarelawan.