Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorge Town – Lebih RM7 juta jualan disasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membabitkan 124 usahawan dari seluruh negara menyertai Malaysia Fest di Singapura.
Demikian menurut Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli dalam Majlis Penutupan Penang FAMA Fest 2023, di Kompleks Bukit Jambul hari ini. Beliau berkata tujuan usahawan di negara ini menyertai ekspo tersebut adalah untuk mempromosi dan memasarkan produk yang melambangkan negeri di Malaysia termasuk juga destinasi pelancongan serta produk kraftangan. Selain itu, dalam ekspo itu juga usahawan dari Malaysia menawarkan pelbagai produk segar yang sentiasa mendapat sambutan warga Singapura.
Beliau berkata bahawa terdapat usahawan yang sudah menyertai ekspo tersebut dan mempunyai minat tersendiri di sana. Bagi usahawan yang baru menyertai ekspo tersebut untuk mengembangkan lagi perniagaan di sana, hal ini adalah peluang bagi mereka untuk mengeksport produk mereka ke luar negara. Kebanyakan usahawan yang pernah menyertai ekspo tersebut mempunyai hubungan perniagaan dengan syarikat luar negara dan beliau berharap agar melalui penyertaan dalam ekspo tersebut akan lebih banyak padanan perniagaan dapat dibuat dalam usaha memperluaskan produk masing-masing.
Terdahulu Majlis Penutupan Penang FAMA Fest 2023 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Chan Foong Hin. Beliau menyokong penuh usaha FAMA yang membantu usahawan untuk memasarkan produk di ekspo tersebut dan ianya memberi peluang produk tempatan untuk lebih dikenali di luar negara.
FAMA Fest telah diperkenalkan oleh FAMA dan merupakan acara tahunan di Pulau Pinang. FAMA Fest ini juga membantu merancakkan industri agromakanan negara sekali gus membantu orang ramai mendapatkan bekalan makanan dengan harga yang lebih murah.