Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjelaskan bahawa pengeluaran getah asli Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 6.8 peratus, iaitu 25 062 tan metrik pada Mei 2023 berbanding dengan 23 460 tan metrik pada bulan sebelumnya. Peningkatan pengeluaran getah asli ini disumbangkan oleh sektor pekebun kecil, iaitu 86.3 peratus berbanding dengan sektor estet, iaitu 13.7 peratus.
“Perbandingan tahun ke tahun getah asli menunjukkan peningkatan 20.2 peratus daripada 20 857 tan metrik pada Mei 2022,” demikian menurut DOSM dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 37 062 tan metrik pada jangka masa yang sama menunjukkan penurunan sebanyak 1.8 peratus berbanding pada bulan sebelunya iaitu sebanyak 37 728 tan metrik.
Walau bagaimanapun, jumlah stok getah asli pada Mei 2023 menurun sebanyak 11.4 peratus kepada 172 263 tan metrik daripada 194 464 tan metrik pada April 2023. Kilang memproses getah menyumbangkan stok akhir sebanyak 92.4 peratus diikuti kilang pengguna getah sebanyak 92.4 peratus dan akhir sekali estet getah sebanyak 0.1 peratus.
Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti tayar, tiub, benang getah dan sarung tangan getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.0 bilion pada Mei 2023 dan mengalami peningkatan sebanyak 28.6 peratus berbanding dengan RM 0.8 bilion pada April 2023. Lateks pekat merekodkan penurunan sebanyak 1.3 peratus dalam analisis perbandingan harga purata bulanan manakala sekerap pula meningkat sebanyak 2.8 peratus .
Negara China terus kekal sebagai destinasi utama untuk mengeksport getah asli, iaitu berjumlah 41.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2023 diikuti Jerman sebanyak 16.3 peratus, Pakistan (3.7 peratus), Turkiye (29 peratus) dan Portugal sebanyak 1.6 peratus.
Sementara itu, berdasarkan laporan Malaysian Rubber Board Digest pada Mei 2023, sentimen positif getah Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah perkembangan positif rundingan had siling hutang di Amerika Syarikat, penurunan pengeluaran getah asli tempatan akibat fenomena gelombang haba dan nilai ringgit yang lemah berbanding dengan dolar AS.