Diterbitkan pada 6 Julai 2023, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memberi kenyataan bahawa sektor pembuatan dan perkhidmatan merupakan antara sektor yang memacu peningkatan  pendapatan e-dagang oleh pertubuhan di Malaysia, iaitu sebanyak 10.4 peratus dari tahun ke tahun pada suku pertama tahun 2023 menjadi RM29.17 bilion.

DOSM menyatakan bahawa prestasi memberangsangkan ini dapat dikaitkan dengan inisiatif kerajaan seperti menyediakan gerbang e-dagang serantau, melabur dalam syarikat e-dagang baharu, menggalakkan inovasi melalui kerjasama dalam pematuhan peraturan dan meningkatkan aksesibiliti komunikasi serta rangkaian jalur lebar. Pada tahun 2022, pendapatan e-dagang berjumlah  hampir RM1.10 trilion dan meningkat sebanyak 6.0 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Usaha tersebut telah menghasilkan manfaat yang signifikan terhadap ekonomi dan ini termasuklah peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dan prestasi keseluruhan yang lebih baik.  Sementara itu, DOSM menjelaskan bahawa pendapatan e-dagang mengalami peningkatan sebanyak 23.9 peratus kepada RM1.037 trilion pada tahun 2021 berbanding dengan RM675.4 bilion pada tahun 2019.  Peningkatan yang ketara sebanyak 25.5 peratus, berjumlah RM932.7 bilion pada tahun 2021 bagi segmen tempatan yang merangkumi jualan yang dijalankan dalam Malaysia manakala segmen pasaran antarabangsa  juga meningkat sebanyak 11.9 peratus kepada RM104.5 bilion pada tahun 2021.

Walaupun pandemik COVID-19 memberi kesan yang negatif terhadap kesihatan dan ekonomi keseluruhan, sekatan dan langkah keselamatan yang dikenakan untuk mengawal penyebaran virus seperti sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan operasi kedai fizikal yang terhad namun hal tersebut telah memberikan lonjakan pembelian dalam talian dan transaksi digital. Meskipun pandemik COVID-19 memberikan banyak kesan negatif, namun hal tersebut telah bertindak sebagai  pemacu kepada pertumbuhan e- dagang di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi