Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof menggesa perniagaan Malaysia untuk memperkukuh perkongsian yang sedia ada dan meneroka potensi baharu bagi kerjasama dengan rakan perniagaan di Kenya, selain memberi penekanan terhadap kemampanan sebagai elemen teras minyak sawit Malaysia.
Beliau yakin bahawa kedua-dua negara mempunyai peluang yang besar dalam sektor swasta dan meminta untuk menilai semula pendekatan perniagaan dan membentuk perkongsian serta pakatan strategik bagi meneroka laluan yang baharu mengembangkan perniagaan minyak makan dan minya sawit. Kenya mempunyai kepentingan yang besar dalam industri minyak sawit Malaysia seperti yang ditunjukkan menerusi kemunculan negara Afrika sebagai destinasi kelima terbesar yang mengeksport minyak sawit Malaysia dengan jumlah melebihi 763 000 tan pada tahun 2022.
Dalam ucaptama pada Forum Minyak Sawit Malaysia Afrika timur 2023 di Nairobi, Kenya, beliau menyatakan bahawa forum tersebut diadakan bertujuan untuk menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit, memupuk peluang rangkaian, dan mengenal pasti kepentingan Kenya sebagai rakan kongsi dagangan dan pengguna utama mintak sawit. Beliau menegaskan bahawa Malaysia ialah antara negara pengeluar minyak sawit di dunia dengan piawaian pensijilan kemampanannya sendiri dikenali sebagai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) .
Dalam forum tersebut juga beliau menjelaskan bahawa piawaian MSPO dibangunkan mengikut peraturan negara dan antarabangsa sebagai penetapan standard dan menunjukkan kod bersama bagi amalan terbaik sepanjang rantaian bekalan daripada penanaman sawit sehingga pemprosesan minyak sawit. Sejak 1 Jan 2020, piawaiaan pensijilan itu ditetapkan sebagai mandatori dengan objektif untuk memastikan industri Malaysia menghasilkan minyak sawit yang diakui mampan serta menepati keperluan pengguna antarabangsa. “Terdapat banyak peluang yang masih belum dimanfaatkan dalam derivatif sawit nilai tambah lebih tinggi hiliran dan ini termasuklah oleokimia, farmaseutikal, produk khusus makanan diproses dan jenama pengguna yang boleh dimanfaatkan dan diteroka untuk pelaburan bersama, ”jelasnya.
Tambahnya lagi minyak sawit memiliki fungsi yang penting dalam mempertingkatkan jaminan makanan global menerusi sumbangan besar kepada industri makanan dan kemampuan dari segi harga dan ketersediaan minyak sawit juga membantu memastikan kebolehsampaian makanan kepada masyarakat merentas latar belakang sosioekonomi yang berbeza terutamanya di wilayah yang menghadapi sumber minyak alternatif yang mungkin sukar diakses atau mahal. Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dengan menyumbang sebanyak 23 peratus kepada bekalan global tahun lepas.
Dalam forum itu juga, Datuk Seri Fadhillah Yusof turut berkongsi prestasi minyak sawit Malaysia dengan menjelaskan bahawa nilai minyak sawit dan eksport produk sawit Malaysia sebanyak USD 29.7 bilion pada tahun 2022 dan menjadikannya komoditi pertanian yang lebih tinggi dieksport. Industri minyak sawit di Malaysia menyediakan pekerjaan langsung kepada lebih 450 000 pekebun kecil dan berkembang maju dengan didorong institusi yang teguh dan ditambah dengan kehadiran menyeluruh di seluruh rantaian nilai .