Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2023 meningkat lima anak tangga di kedudukan ke-27 berbanding ke-32 pada tahun lalu. Peningkatan kedudukan itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha keseluruhan kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan asas ekonomi, dasar dan inisiatif dalam meletakkan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan, perniagaan serta perdagangan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kedudukan tersebut menunjukkan Malaysia mencatatkan peningkatan dalam keempat-empat faktor daya saing, terhadap kesan pandemik, ketidaktentuan dan krisis ekonomi global, serta pelbagai cabaran domestik. Sementara itu, kedudukan WCR Malaysia dalam sub-faktor perundangan perniagaan meningkat daripada 50 pada 2022 kepada 45 pada 2023.
Beliau menambah bahawa MITI percaya usaha untuk meningkatkan daya saing global Malaysia mesti bergantung kepada pendekatan seluruh negara dalam memuktamadkan dan melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Tambah beliau lagi, usaha itu harus berdasarkan strategi awam-swasta bersepadu yang memperkasakan semua pihak kepentingan utama seperti pelabur, perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat dengan mengambil kira prinsip kemampanan dan keterangkuman yang menyeluruh.
Laporan WCR Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) berdasarkan 336 kriteria daya saing yang dikategorikan kepada empat faktor iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur. Laporan yang meliputi 64 ekonomi itu memperincikan arah aliran daya saing negara berdasarkan prestasi keseluruhan, cabaran pada tahun tinjauan, fakta asas, landskap daya saing dan kedudukan kumpulan sebaya.