Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli menyatakan bahawa kementeriannya telah membangunkan inisiatif kemudahan rakyat (IKR) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil di kawasan setempat.
Menurut beliau, IKR merupakan bantuan kerajaan Persekutuan yang bertujuan untuk mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek kecil seperti membaik pulih dewan atau menutup jalan rosak yang akan dikawal selia oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
IKR juga tertakluk kepada beberapa kriteria, iaitu projek kecil yang dimohon harus memberikan manfaat segera kepada masyarakat, kos projek tidak melebihi RM200 000 dan projek berkenaan tidak bertindih dengan projek yang telah menerima kelulusan peruntukan daripada agensi lain.
Kebelakangan ini, peruntukan bagi projek penyelenggaraan semakin berkurangan berikutan peruntukan lebih tertumpu kepada tanggungan hutang dan projek besar.
“Oleh sebab itu, dengan adanya IKR , Kementerian Ekonomi memperuntukkan lebih banyak dana untuk penyelenggaraan yang akan memberi impak segera kepada rakyat dan kemudahan awam, ” jelasnya dalam sidang media selepas melancarkan IKR di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, sekurang-kurangnya 2500 projek kecil dapat dilaksanakan menerusi IKR dan pelaksanaannya akan dipantau rapi selain peruntukan akan ditambah sekiranya perlu. Pelaksanaan IKR ini juga bertujuan membantu kontraktor kecil seluruh Malaysia yang boleh menyiapkan projek mereka dengan segera antara tempoh dua hingga tiga bulan.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu ,Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Hafiz Solkapeli berkata IKR akan memberikan manfaat kepada pihak yang memerlukan infrastruktur kecil baharu yang perlu dibaiki seperti di kawasan perumahan mereka.
“Konsep IKR ini juga dilihat sama seperti projek mesra rakyat seperti membaik pulih surau, membaiki bilik komputer di sekolah dan sebagainya. IKR dilihat sebagai satu dana tambahan yang amat diperlukan untuk pembangunan infrastruktur, ” katanya.