Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) akan terus menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga 2024 ke atas simpanan bersih hingga RM8000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata insentif berkenaan menjadikan Simpan SSPN sebagai satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding dengan simpanan lain.
Saya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan melalui Simpan SSPN ini dilanjutkan hingga 2024.
Beliau optimis bahawa insentif ini akan meningkatkan motivasi serta galakan kepada ibu bapa untuk terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman PTPTN.
Tambahnya, rakyat perlu mengambil peluang ini untuk membuat simpanan melalui Simpan SSPN dan ibu bapa yang ingin membuka atau membuat penambahan simpanan boleh melakukannya secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
Terdahulu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan hingga 2024 pada Mac lepas.
Pendeposit Simpan SSPN turut menikmati keistimewaan lain seperti perlindungan takaful, Geran Sepadan hingga RM10 000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, serta simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Setakat Mei lalu, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM15.28 bilion melibatkan 5.92 juta akaun.