Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) atau lebih dikenali sebagai “InvestED” akan membantu negara melahirkan graduan yang lebih bersedia untuk diserap ke dalam pasaran modal.
InvestED merupakan program kolaborasi pertama antara SC, industri pasaran modal dan universiti yang diadakan secara kerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia serta pemain industri pasaran modal terkemuka.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berharap inisiatif ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membolehkan mereka mendapat pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran modal.
Beliau menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan serta pembangunan bakat merupakan agenda utama bagi SC dan pasaran modal kerana dengan kadar peralihan bakat yang tinggi terutamanya dalam industri seperti pasaran modal, tumpuan terhadap pembangunan bakat-bakat tersebut adalah amat penting.
“Program ini diperkenalkan bagi membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan bakat antara graduan dengan keperluan industri yang sedang mengalami peralihan ke dunia digital. Hal ini memperlihatkan bahawa pentingnya bantuan langkah terakhir (last mile) diberikan kepada graduan untuk mengawal masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SC semalam.
Menurut beliau, InvestEd adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan tinggi melalui kerjasama antara sektor awam dengan sektor swasta demi melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Sebanyak RM30 juta diperuntukkan oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini bagi menyediakan latihan tambahan kepada 9000 bakal graduan serta program penempatan berbayar kepada mereka yang terpilih.
Program ini dijangka membuka peluang pekerjaan kepada sebanyak 600 graduan dalam tempoh tiga tahun tersebut melalui penempatan pekerjaan dan latihan dalam pekerjaan yang disediakan oleh firma dalam industri pasaran modal di bawah Program Kepimpinan InvestED.
Sumber gambar: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia