Diterbitkan pada 20 Jun 2023, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan sembah mengadap silaturahim oleh Pemangku Gabenor Wilayah Satun Thailand, Chatri Na Thalang di Galeri Diraja, Arau.

Pemangku Gabenor Wilayah Satun Thailand, Chatri Na Thalang mempersembahkan hasrat kerjasama dua hala dengan negeri Perlis.

Delegasi sebanyak sepuluh orang yang diketuai oleh Chatri itu mempersembahkan sendiri hasrat untuk membincangkan kerjasama dua hala dalam tempoh jangka pendek dan panjang yang boleh dipelopori antara negeri Perlis dengan Wilayah Satun kepada Tuanku Pemangku Raja.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra pula menzahirkan rasa sukacita dengan kehadiran delegasi dari Thailand ke negeri ini. Baginda berharap agar pertemuan ini akan menghasilkan suatu kata putus yang positif dan menguntungkan kedua-dua belah pihak serta lebih banyak lagi kerjasama seperti ini dapat dijalankan dengan para pemain industri yang meliputi pelbagai sektor dari semasa ke semasa.

DYMM Tuanku Pemangku Raja berkenan mengurniakan tanda kenangan kepada Chatri.

Baginda turut menyarankan agar diwujudkan kerjasama antara para usahawan Perlis dengan Satun melalui Dewan Perniagaan masing-masing bagi meluaskan lagi pasaran sedia ada. Di samping itu, potensi pelancongan juga boleh diterokai secara bersama termasuklah promosi destinasi menarik di Satun dan juga Perlis.

Yang mengiringi baginda dalam pertemuan tersebut termasuklah Menteri Besar Perlis, YB Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; dan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Puteh Soraya A Rahman.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, YBrs. Dr. Mohd Shaharin Umar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Raja Datuk Azwane Raja Ariff.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi