Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia perlu membangunkan pelan tindakan bagi mengekalkan bakat sedia ada dan menarik generasi baharu penanam sebagai penggerak industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof berkata industri ini akan menghadapi kekurangan penanam yang berbakat dan berkelayakan. Melalui ucapan perasmian Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-10 (IPC2023) beliau yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari, beliau yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan bahawa industri semakin ketandusan penanam yang berkelayakan. Kerja secara berpasukan amat perlu bagi mencari penyelesaian isu tersebut demi kelangsungan industri.
Kementerian Perladangan dan Komoditi juga telah mewujudkan pelbagai platform dan mekanisme untuk pihak berkepentingan berkongsi idea, pengetahuan dan maklum balas mengenai pembentukan garis panduan.
“Kita memerlukan persetujuan dan konsensus untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai matlamat dan Incorporated Society of Planters (ISP) yang boleh memainkan peranan yang aktif dalam pembentukan dasar dan garis panduan,” jelasnya.
Sementara itu, pihaknya akan mengambil bahagian dalam skim dan peraturan yang berdaya maju untuk memastikan penyesuaian teknologi sebagai platform penting bagi meningkatkan produktiviti melalui teknologi terkini.
Datuk Seri Fadillah Yusof juga menyatakan bahawa seiring dengan usaha kerajaan berdasarkan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2023 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), penanam diharap dapat dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan pengetahuan digital terkini yang boleh diaplikasikan sebagai persediaan mengatasi isu dan cabaran dalam industri.
Kerajaan juga telah bersetuju untuk mengehadkan jumlah kawasan tanaman sawit dengan memberikan tanggungjawab tersebut kepada penanam bagi meningkatkan produktiviti tanah sedia ada. Tanggungjawab ini termasuklah melalui amalan pertanian yang baik, bahan genomik baharu serta mekanisasi dan automasi selain pengurusan kos operasi yang bijak walaupun kos input kian meningkat.