Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatat nilai jualan berjumlah RM136.0 bilion, meningkat sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun pada April 2023. Menurut jabatan berkenaan, kenaikan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 12.9 peratus atau RM6.9 bilion kepada RM60.5 bilion, manakala perdagangan borong juga menokok 3.2 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM60.9 bilion.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit turun -1.8 peratus berikutan penyusutan bagi subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong, iaitu masing-masing -19.8 peratus dan -1.1 peratus. Subsektor kenderaan bermotor pada 5.1 peratus turun kepada RM14.6 bilion yang dipengaruhi oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot -17.3 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM6.8 bilion. DOSM turut menyatakan bahawa jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal turut menguncup -29.8 peratus.
Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan negatif sebanyak -19.8 peratus disebabkan oleh kejatuhan pada jualan kenderaan bermotor dengan -33.5 peratus. DOSM turut menambah dari segi prestasi rentas subsektor, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit mencatatkan sebanyak 12.9 peratus pada April 2023 disokong oleh jualan runcit bagi kedai bukan pengkhususan yang meningkat 18.0 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM23.4 bilion. Kumpulan lain dalam subsektor tersebut yang turut merekodkan pertumbuhan positif termasuklah jualan runcit kedai pengkhususan 17.4 peratus; jualan runcit bahan api kenderaan 19.6 peratus dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau sebanyak 15.1 peratus.
Kenaikan 3.2 peratus bagi subsektor perdagangan borong pula disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat sebanyak RM900 juta atau 7.7 peratus kepada RM12.1 bilion. Hal itu diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (5.4 peratus) dan jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.1 peratus). Indeks volum perdagangan borong dan runcit pada April 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.7 peratus yang disumbangkan oleh perdagangan runcit (10 peratus) dan perdagangan borong (3.4 peratus). Indeks volum pelarasan musim pula meningkat 6.5 peratus bagi bulan ke bulan.