Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) pada 9 Jun lalu mengumumkan pelantikan gabenornya yang baharu, iaitu Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkuat kuasa 1 Julai ini. BNM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan bahawa pelantikan gabenor baharu itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun hingga 30 Jun 2028.
Beliau akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun ini.
Pelantikan sebagai Gabenor merupakan suatu penghormatan kepada saya dan akan meneruskan dan meningkatkan lagi usaha Gabenor Shamsiah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah beliau, bank akan terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik di bawah kepimpinannya. Katanya, beliau juga telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan bank pada kedudukan yang lebih baik bagi memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan dan beliau akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor.
Datuk Abdul Rasheed mula berkhidmat pada tahun 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2016. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan juga mempunyai MBA dari Saïd Business School, Oxford University. Sepanjang kerjayanya, Datuk Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dan kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026).
Sementara itu, Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata menerajui Bank Negara selama lima tahun ini merupakan suatu penghormatan kepadanya dan beliau berterima kasih kerana diberi peluang untuk memimpin bank dan berkhidmat untuk negara, terutamanya semasa keadaan tidak menentu dan sangat penting kepada negara.
Beliau percaya pemilihan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour merupakan pilihan yang tepat untuk menerajui BNM sebagai Gabenor setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengan beliau.
“Saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin Bank Negara bagi memenuhi mandat, iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,” katanya dalam kenyataan tersebut.