Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk meningkatkan dan mempermudahkan lagi aktiviti perniagaan dalam negara dan menyokong pelaburan langsung domestik.
Tambahan beliau lagi, kabinet juga akan fokus untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan aktiviti perniagaan antaranya termasuklah permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan domestik.
Kerajaan telah mengambil pelbagai cara untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Ini termasuk langkah belanjawan 2023 untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana(PKS) khususnya dengan menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion, ”katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian kewangan hari ini.
Perdana Menteri telah mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh lagi pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik hari ini.
Sesi dialog ini disertai oleh dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada pertemuan itu, petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan dasar fisikal kerajaan dan Langkah belanjawan 2023 telah menunjukkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
Malaysia mencapai pertumbuhan suku pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus berbanding 5.2 peratus pada Mei 202. Sementara itu, jumlah pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat sebanyak 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.
Beliau juga menjelaskan bahawa pelaburan tersebut disokong oleh minat pelaburan yang tinggi antaranya daripada Amazon Web Services,Tesla, EV,Geely /Proton Automotive City Di Tanjong Malim dan Rohenseng Petrochemicals Di Pengerang.
“Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang mencabar sangat mencabar, ”katanya.
Pada pertemuan yang sama juga, beliau turut menekankan bahawa kerajaan amat komited untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta menegakkan keadilan sosial untuk semua rakyat selaras dengan visi Malaysia MADANI.
Beliau juga turut menjelaskan bahawa dasar dan keutamaan ekonomi di bawah kerajaan perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam pelan induk perindustrian (Ogos 202), kajian separuh penggal rancangan Malaysia KE-12(September 2023) dan belanjawan (Oktober 2023).
Selain itu, kumpulan perniagaan turut dipelawa untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan itu.
Tambahnya, orang ramai juga boleh berkongsi cadangan berhubung Langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen “Suarakan pendapat anda” di laman web rasmi kementerian kewangan www.mof.gov.my.