Diterbitkan pada 28 Mei 2023, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penampang – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus komited melaksanakan inisiatif yang telah digariskan untuk memacu kemajuan dan kejayaan usahawan francais negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu adalah bertepatan dengan ikhtiar Bitara MADANI yang akan memfokuskan kepada pembangunan keusahawanan yang memerlukan jangka masa Panjang dalam merealisasikan kejayaan.

Beliau juga berkata komitmen agensi  tersebut dapat dilihat menerusi peruntukkan RM50 juta khusus untuk Skim Pembiayaan Francais dan Pra Francais pada tahun ini bagi pembangunan perniagaan francais selaras dengan nilai kesejahteraan MADANI untuk usahawan.

Tambahan beliau lagi, PERNAS berperanan dalam membangunkan usahawan francais dan seterusnya turut mendukung misi kementerian untuk menyediakan khidmat sokongan, platform, bantuan serta pembangunan kapasiti keusahawanan.

PERNAS bukan sahaja melahirkan ramai usahawan francais, tetapi agensi itu juga turut membangunkan banyak  jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“PERNAS turut menyediakan ekosistem keusahawanan kondusif dengan menawarkan produk serta perkhidmatan bersesuaian kepada para usahawan tempatan yang merangkumi keperluan kepada francaisor, francaisi dan para-francaisor yang antara lain melibatkan skim pembiayaan dan pengurusan hartanah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penjenamaan semula jenama francais Mok Corner.

Sebanyak RM428 juta telah disalurkan kepada 2,162 usahawan untuk pembangunan industri francais negara sejak 2004. Agensi  itu juga telah meluluskan  pembiayaan kepada 66 syarikat di Sabah dengan jumlah RM 14667 149 juta sejak tahun 2009 sebagai usaha untuk membantu usahawan francais tempatan di negeri itu berkembang lebih jauh.

Selain Mok Corner yang kini telah mempunyai 39 cawangan di seluruh negeri, jenama tempatan yang lain juga turut merancakkan industri francais di sabah termasuk Kak Nong, Al Hadanah, Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen dan Daily Electronic Centre.

Pengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin dalam ucapannya menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa komited membantu seterusnya menyokong mana-mana syarikat atau usahawan untuk melangkah ke hadapan bagi membangunkan jenama serta perniagaan masing-masing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi