Diterbitkan pada 28 Mei 2023, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Iskandar Puteri – Malaysia bercadang untuk mewujudkan wilayah ekonomi serantau antara Johor dengan Singapura dalam usaha mengukuhkan ekonomi negeri tersebut.

Menteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli berkata, ketiga-tiga pihak, iaitu kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan kerajaan Singapura telah membuat pertemuan secara berkala bagi membincangkan cadangan tersebut, namun ianya belum diangkat sebagai cadangan rasmi.

“Saya fikir, kita bersedia untuk melihat bagaimana Singapura berpandangan bahawa Johor sebagai sebahagian daripada zon ekonomi kerana kita juga mempunyai idea dan cadangan tentang cara kita melihat Singapura sebagai sebahagian zon ekonomi kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Majlis Bandaraya Iskandar  Puteri, hari ini.

Beliau juga berkata, hal tersebut merupakan masa yang sesuai untuk membawa idea serta memulakan perbincangan tersebut  ke peringkat yang lebih formal. Tambah beliau lagi, cadangan tersebut akan dikemukakan dalam mesyuarat kabinet terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesyuarat tahunan jawatankuasa bersama peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan Julai ini.

Rafizi dalam ucapannya semasa sesi dialog libat urus berkata,Johor akan terus menjadi antara pemacu ekonomi negara terbesar pada masa hadapan susulan potensi dan kedudukan strategiknya di rantau ini.

Negara ini akan memberi fokus pada sektor peralihan tenaga dan Johor merupakan satu daripada negeri yang berpotensi untuk menjadi penerima manfaat terbesar terutamanya dengan kedudukannya bersebelahan dengan Singapura. Hal ini  turut disokong dengan keputusan kerajaan yang kini membenarkan aktiviti pengeksportan tenaga diperbaharui.

Beliau juga berkata bahawa Johor akan menjadi satu daripada negeri yang paling berpotensi untuk mendapat laba daripada projek aktiviti peralihan tenaga melibatkan tenaga boleh baharu. Selain itu, Pengerang juga akan menjadi perintis kepada tenaga ammonia dan hidrogen dan bukan hanya pusat kima dan petrokimia semata-mata.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi