Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Industri buku negara merupakan industri penting untuk membina ketamadunan bangsa dan negara. Antara objektif penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) adalah untuk memupuk dan menyuburkan minat membaca khususnya dalam kalangan generasi muda. Satu daripada aktiviti yang dianjurkan bersempena dengan PBAKL ialah forum The One Talk 2.0: An Introduction To The Malaysian Book Industry.
Forum itu menampilkan empat orang ahli panel, iaitu Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Tuan Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Puan Adibah Omar, Ketua Jabatan Penerbitan dan Jualan Buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Tuan Ahmad Shuaimi Yunos, dan Ketua Editor Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Rosmani Omar. Moderator bagi forum tersebut ialah Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Tuan Sheikh Faisal Sheikh Mansor, dan dihoskan oleh Pengerusi Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC), Tuan Keith Chong.
Dalam forum tersebut, Tuan Mohd Khair Ngadiron menyatakan bahawa Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1968 dan kini menjadi satu bahagian khusus di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang berfungsi sebagai sekretariat. Kemudian, bahagian ini dinamakan semula sebagai Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Fungsi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia adalah untuk menganjurkan program dan aktiviti berkaitan dengan kegiatan membaca di negara.
Puan Adibah Omar pula menerangkan bahawa Perbadanan Kota Buku merupakan agensi yang berperanan sebagai nukleus perbukuan dan kemudiannya menjadi hab kepada pemain industri perbukuan untuk berdaya saing dan terus menghasilkan bahan bacaan bermutu seiring aspirasi KPM. Perbadanan Kota Buku juga membangunkan sistem perbukuan digital dan boleh diakses oleh masyarakat. Beliau juga menyatakan bahawa Perbadanan Kota Buku menyediakan platform kepada masyarakat untuk membeli bahan bacaan secara dalam talian.
Tuan Ahmad Shuaimi Yunos pula menjelaskan peranan dan fungsi yang dimainkan oleh ITBM adalah untuk menggalakkan penyuburan minat membaca dalam kalangan masyarakat, manakala Dr. Rosmani Omar pula menyatakan pendirian bahawa DBP sentiasa komited untuk menghasilkan bahan bacaan yang bermutu tinggi bagi tujuan pembacaan masyarakat. Beliau juga menambah bahawa masyarakat kini boleh mendapatkan bahan bacaan DBP melalui portal JendelaDBP.