Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bursa Malaysia Bhd. telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi membantu usaha menerima pakai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) melalui Platform Kelestarian Kecerdasan Berpusat (CSIP) .
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhammad Umar Swift berkata CSIP yang digunakan dalam kerjasama itu bertujuan untuk memudahkan usaha penyahkarbon Petronas dalam rantaian bekalannya. Beliau turut menggalakkan pemimpin industri lain, terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam rantaian bekalan global untuk turut menggunakan platform tersebut dan menerajui perubahan dalam bidang masing-masing.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kerjasama dengan entiti yang berpandangan ke hadapan seperti Bursa Malaysia dilihat mampu menawarkan platform tersebut ke seluruh sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas untuk terus menerima pakai dan mengukuhkan pematuhan ESG bagi menambah baik operasi.

Dengan kerjasama Kumpulan Bursa Saham London, Bursa Malaysia menyatakan bahawa mereka sedang membangunkan dan menguji platform tersebut bagi membolehkan syarikat korporat dan pembekal yang tersenarai atau tidak tersenarai pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa mengambil kira impak pelepasan karbon mereka seterusnya mendedahkan data ESG yang standard.
Dalam kenyataan bersama-sama Bursa Malaysia dan Petronas semalam, platform tersebut diwujudkan bertujuan untuk memudahkan syarikat yang dalam usaha pendedahan kemampanan, di samping menggalakkan pengurusan pelepasan karbon yang berkesan termasuklah daripada rantaian bekalan. Melalui langkah ini, Petronas akan menyertai platform Program Pengguna Awal untuk menyokong pelaporan dan pendedahan ESG yang standard serta mengkaji pewujudan nilai yang seterusnya dalam rantaian bekalannya. Hal ini dijangka dapat mengukuhkan lagi penerimaan syarikat Malaysia melalui ketelusan data ESG yang lebih baik.
Sumber gambar: PETRONAS