Diterbitkan pada 10 Februari 2023, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya menunjukkan perkembangan sebanyak 8.7% pada tahun 2022. Bank Negara Malaysia(BNM)  dalam satu kenyataannya menjelaskan bahawa perkembangan ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun 2022 dilihat lebih perlahan, iaitu sebanyak 7.0% susulan daripada sokongan langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurang.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan ini masih melebihi purata pertumbuhan jangka panjang, iaitu sebanyak 5.1% BNM juga menyatakan bahawa sektor swasta merupakan pendorong utama yang menyebabkan berlakunya pertumbuhan ekonomi tersebut dan kemudian disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta. Penggunaan swasta juga terus meningkat dan telah didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik.

“Pertumbuhan keseluruhan eksport menjadi sederhana sejajar dengan permintaan luaran yang semakin lemah namun telah diimbangi oleh prestasi eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berdayaa tahan.” Demikian kenyataan yang diberikan oleh BNM semasa mengupas isu ini. Sektor perkilangan dan perkhidmatan merupakan sektor yang telah mendorong kepada pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, ekonomi telah mencatatkan penurunan sebanyak 2.6% pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim. Inflasi keseluruhan dilihat menjadi sederhana kepada 3.9% pada suku keempat tahun 2022. Penurunan tersebut disebabkan oleh luputnya kesan asas inflasi elektrik yang menjadi penyumbang utama terhadap inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2022.

Menurut BNM lagi, harga komoditi  utama juga menunjukkan trend penurunan kerana inflasi yang lebih rendah bagi beberapa barangan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) termasuklah bahan api. Inflasi bagi beberapa bahan makanan ruji utama seperti telur, daging segar juga menjadi sederhana pada suku tersebut.

Walau bagaimanapun, sebahagian kesan penurunan daripada faktor ini telah diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi. Inflasi teras juga meningkat kepada 4.2%  daripada 3.7% pada suku ketiga tahun 2022 yang didorong oleh permintaan yang terus kukuh dalam keadaan persekitaran kos yang dilihat masih tinggi.

Inflasi keseluruhan mencatatkan peningkatan kepada 3.3% berbanding dengan kadar pada tahun sebelumnya. Purata inflasi teras pula ialah 3.0%  lebih tinggi berbanding dengan tahun 2021, iaitu 0.7%.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi