Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Konsortium Ekonomi Jingga (KEJ) merancang menganjurkan Festival Ekonomi Jingga (FEJ) pada bulan Disember ini sebagai usaha memperkasakan ekonomi kreatif yang dilihat berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara, serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Pengarah Urusan KEJ, YBrs. Dr. Hasan Hamzah berkata, festival yang dijangka berlangsung selama lima hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu akan menghimpunkan pelbagai penggiat industri kreatif menerusi pameran, jualan, persembahan, forum dan wacana.
Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran penganjuran, KEJ sedang menjalin kerjasama strategik dengan beberapa organisasi antaranya termasuklah EduAssist Sdn. Bhd. (EduAssist), Strategy Force Development Sdn. Bhd. (SFD), OOB Studio, Cloudwise, Yayasan Teras Utama dan Panggung Kita.
“Selain itu, memandangkan festival ini turut melibatkan penyertaan penerbit buku, penganjur turut mengadakan perbincangan dengan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bagi menjayakan penganjuran tersebut,” katanya dalam satu pertemuan di Menara Safuan, di sini.
Dr. Hasan berkata, FEJ dijangka menghimpunkan tokoh penulis, penyiar, wartawan, komposer, pemuzik, penyanyi, pelakon, pengarah, pelukis, pengukir dan pengarca dari seluruh negara.
Beliau berkata, selain aktiviti pameran dan jualan, festival itu turut menyediakan platform perbincangan ilmiah menerusi forum dan wacana berkaitan dengan ekonomi kreatif.
Sementara itu, sebagai acara pemanas menuju FEJ, KEJ akan menganjurkan Anugerah Telenovela ke-11 pada 6 hingga 8 November depan bagi mengiktiraf novel dan karya fiksyen tempatan yang berjaya diadaptasi kepada drama bersiri, telefilem atau filem untuk siaran televisyen, pawagam dan platform penstriman.
Lokasi penganjuran anugerah tersebut akan diumumkan kemudian.