Diterbitkan pada 22 Julai 2026, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik, Rupa Duttagupta mengadakan misi rasmi selama empat hari ke Malaysia yang dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican pada 21 Julai 2026.

Misi tersebut diteruskan dengan Mesyuarat Teknikal Tahunan Malaysia–IMF yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz. Mesyuarat itu turut melibatkan wakil Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Cukai, Pejabat Belanjawan Negara, serta Pasukan Subsidi.

Mesyuarat berkenaan membincangkan prestasi fiskal dan prospek ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. Perbincangan turut tertumpu pada kedudukan fiskal negara, usaha memperluas sumber hasil, pelaksanaan rasionalisasi subsidi, serta langkah mengurangkan impak perkembangan ekonomi global terhadap kedudukan kewangan negara.

Selain itu, dialog tersebut membuka ruang kepada Malaysia untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman IMF, serta bertukar pandangan dengan negara rakan serantau dalam menangani cabaran struktur ekonomi dan memperkukuh daya tahan fiskal negara.

Kredit Foto: Kementerian Kewangan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi