Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Moody’s Ratings (Moody’s) mengekalkan penarafan berdaulat Malaysia pada A3 dengan Tinjauan Stabil selepas selesai melaksanakan semakan berkala terhadap penarafan negara.
Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas pada tahun 2026 berbanding dengan negara berpenarafan setara, disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, sumber asli yang mencukupi, serta simpanan domestik yang besar.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), asas pelabur domestik yang besar turut menyokong keperluan pembiayaan kerajaan, mengurangkan risiko kecairan dan mengekalkan kos pinjaman pada tahap sederhana.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian Moody’s mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia, serta kemajuan yang dicapai dalam mengukuhkan disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan meluaskan asas hasil.
Menurut beliau, agenda reformasi bukan sesuatu yang mudah dan masih memerlukan perjalanan yang panjang sebelum hasilnya dapat dirasai sepenuhnya. Oleh itu, penilaian tersebut tidak seharusnya menjadikan negara alpa, sebaliknya perlu memperkukuh tekad untuk meneruskan reformasi bagi memastikan pengurusan ekonomi yang berhemah dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas dan kesejahteraan rakyat.
Dalam suasana dunia yang masih berdepan dengan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global, Malaysia perlu terus memelihara kestabilan domestik, kepastian dasar dan momentum reformasi. Kerajaan juga akan terus memberikan tumpuan pada usaha melindungi ekonomi negara dan memperkukuh asas pertumbuhan yang mampan.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus pada tahun 2025. Moody’s mengaitkan prestasi kukuh itu dengan permintaan domestik yang memberangsangkan, khususnya penggunaan dan pelaburan swasta, di samping sumbangan lebih kukuh daripada eksport elektronik.
Walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, ketidaktentuan harga tenaga global dan permintaan luar yang lebih perlahan, Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia terus mencatatkan prestasi lebih baik berbanding dengan negara berdaulat yang mempunyai penarafan setara.
Agensi penarafan itu turut mengiktiraf pembaharuan hasil yang dilaksanakan sejak tahun 2023 kerana berjaya memperluas asas hasil cukai kerajaan, sekali gus menyokong usaha konsolidasi fiskal secara beransur-ansur. Namun begitu, kerajaan masih berdepan dengan peningkatan perbelanjaan subsidi akibat harga tenaga global yang tinggi dan pertambahan perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Moody’s turut mengiktiraf kekukuhan institusi eksekutif dan perundangan Malaysia, rekod prestasi penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan, syarat pembiayaan domestik yang menggalakkan, serta kestabilan makroekonomi yang luas.
Tinjauan Stabil pula mencerminkan risiko yang seimbang terhadap profil kredit Malaysia. Prestasi ekonomi yang lebih kukuh dan penyatuan fiskal yang lebih pantas berpotensi menyokong penjanaan hasil lebih tinggi, pengurangan hutang yang ketara dan peningkatan kemampuan membayar hutang.
Petunjuk ekonomi negara yang lebih menyeluruh turut menunjukkan pengukuhan asas ekonomi. Kadar pengangguran berkurang kepada 2.9 peratus pada suku pertama tahun 2026, iaitu paras terendah dalam tempoh lebih sedekad, manakala jumlah guna tenaga meningkat kepada 16.7 juta orang dengan 48 500 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh tersebut.
Kedudukan Malaysia turut melonjak lapan anak tangga ke tangga ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, iaitu kedudukan tertinggi sejak tahun 2020. Malaysia juga mengekalkan kedudukan keempat pada peringkat global bagi Prestasi Ekonomi, selain mencatatkan peningkatan dalam aspek Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.
Pada tahun 2025, ringgit mengukuh sebanyak 10.1 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat, sekali gus menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di Asia pada tahun tersebut.
Kerajaan MADANI kekal komited terhadap objektif fiskal yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) dengan terus meluaskan asas hasil, meningkatkan kecekapan perbelanjaan, mengukuhkan ketelusan fiskal, serta melaksanakan penyasaran subsidi yang lebih baik sambil melindungi kebajikan rakyat.