Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkukuh daya saing industri perladangan negara melalui penerapan inovasi, teknologi dan amalan kelestarian bagi memastikan Malaysia terus menjadi peneraju sektor perladangan mampan pada peringkat global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha tersebut penting bagi membina sektor perladangan yang lebih berdaya tahan, berteknologi tinggi dan mampan dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi dan cabaran industri global.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan International Planters Conference 2026 (IPC 2026) yang berlangsung dari 13 Julai hingga 15 Julai 2026. Program tersebut menghimpunkan pembuat dasar, penyelidik, penggiat industri dan pakar dari dalam dan luar negara.

Persidangan berkenaan menjadi platform penting untuk membincangkan masa hadapan sektor perladangan, khususnya dalam aspek inovasi, daya tahan dan kemampanan selaras dengan keperluan industri untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, cabaran tenaga kerja dan tuntutan kelestarian.
Menurut YB Datuk Seri Dr. Noraini, KPK komited memperkukuh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), mempercepat pendigitalan industri, memperkasakan pekebun kecil, serta menggalakkan penghasilan produk hiliran bernilai tinggi bagi meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi negara.
IPC 2026 turut memberikan tumpuan kepada beberapa bidang utama, termasuk kecemerlangan operasi dan pengurusan; mekanisasi, automasi dan pendigitalan; pembangunan bakat dan kepimpinan; tenaga kerja masa hadapan; serta pertanian jana semula dan kemampanan.
Persidangan itu menyediakan ruang kepada pihak berkepentingan industri untuk berkongsi pengetahuan, hasil penyelidikan dan penyelesaian teknologi, selain membincangkan pendekatan yang dapat meningkatkan produktiviti dan daya tahan industri perladangan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
KPK akan terus memacu transformasi sektor agrikomoditi negara menerusi kerjasama strategik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan bagi memastikan industri perladangan Malaysia kekal relevan, mampan, berdaya saing dan diyakini pada peringkat global.