Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini sejajar dengan penilaian bahawa ekonomi negara dijangka terus kukuh di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut BNM, perkembangan terkini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia terus mencatat prestasi yang memberangsangkan pada suku kedua tahun ini, didorong oleh permintaan domestik yang kekal kukuh dan prestasi eksport yang melebihi jangkaan.

Pada paras OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah sesuai dan sejajar dengan prospek kestabilan harga, serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Bank pusat itu memaklumkan bahawa keadaan pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan gaji dan pelbagai langkah dasar kerajaan dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Pada masa sama, aktiviti pelaburan dijangka terus berkembang menerusi pelaksanaan projek swasta dan awam, kadar realisasi pelaburan yang tinggi dan pelaksanaan pelan induk ekonomi negara.

Sektor luaran pula dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), pemulihan eksport bukan E&E, serta peningkatan perbelanjaan pelancong asing.

Berdasarkan perkembangan semasa, ekonomi Malaysia pada tahun 2026 dijangka kekal berkembang dalam lingkungan antara empat hingga lima peratus.

Dari segi perkembangan harga, purata inflasi keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini ialah 1.7 peratus, manakala inflasi teras mencatat 2.1 peratus. Walaupun konflik di Asia Barat berpotensi meningkatkan harga komoditi dunia, BNM berpandangan bahawa kesannya terhadap inflasi domestik dijangka kekal terkawal.

Namun begitu, risiko terhadap pertumbuhan ekonomi masih wujud, termasuk kemungkinan konflik di Asia Barat berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sebaliknya, pertumbuhan berpotensi menjadi lebih kukuh sekiranya keadaan geopolitik global semakin reda, permintaan terhadap produk E&E meningkat dan sektor pelancongan terus berkembang.

BNM menegaskan akan terus memantau perkembangan ekonomi dan inflasi secara rapi dalam menilai pendirian dasar monetari pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi