Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jenama minuman dan pencuci mulut tempatan, Bliss Juice, Smoothie & Dessert memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelakon, penyanyi dan usahawan, Nabila Razali sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh jenama, serta memperluas pasaran syarikat.
Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung di Eden Mansion, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu itu menjadi antara langkah syarikat dalam menyokong pelan pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan pelibatan pengguna melalui pelbagai inisiatif pemasaran, serta program berteraskan gaya hidup sihat.
Ditubuhkan pada tahun 2023, Bliss menawarkan lebih daripada 50 produk yang merangkumi jus buah segar, smoothie dan pencuci mulut berasaskan buah-buahan segar.
Seiring dengan perkembangan perniagaan, syarikat kini beroperasi di Sunway Putra Mall dan KL East Mall, selain merancang pembukaan tiga cawangan baharu di Tropicana Avenue pada bulan Ogos ini, di Shah Alam pada Oktober 2026 dan di Ara Damansara pada November 2026.
Pengasas Bliss Juice, Smoothie & Dessert, Amelyn Wong berkata, kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha membina jenama yang lebih kukuh melalui strategi pemasaran bersepadu, program pelibatan pengguna, kempen kesedaran kesihatan, serta aktiviti komuniti.
Menurut beliau, syarikat turut komited memperluas akses kepada produk berasaskan buah-buahan segar selaras dengan peningkatan permintaan pengguna terhadap pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat.
Sementara itu, Nabila Razali berkata, kerjasama berkenaan selari dengan aspirasi untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat di samping memperluas capaian jenama kepada lebih banyak pengguna.
Melalui kerjasama strategik tersebut, Bliss menyasarkan peningkatan keterlihatan jenama, pengukuhan hubungan dengan pelanggan, serta menyokong pertumbuhan perniagaan jangka masa panjang menerusi inovasi produk dan pengembangan rangkaian operasi.