Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLundu – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) memperkasakan amalan pertanian baik dalam kalangan pekebun kecil sawit menerusi penganjuran Kursus Amalan Pertanian Baik Pekebun Kecil Sawit baru-baru ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama CPOPC melibatkan kira-kira 60 orang pekebun kecil persendirian dari sekitar Daerah Lundu bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pengurusan kebun sawit yang mampan.
Kursus berkonsepkan seminar mini ini bertujuan memberikan pendedahan mengenai kaedah pertanian mampan menerusi pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil sawit.
Selain pendedahan secara teori, peserta turut diberikan latihan praktikal berkaitan dengan pengurusan kebun secara menyeluruh bermula daripada penyediaan kawasan tanaman dan pemilihan anak benih berkualiti sehingga teknik pembajaan, penuaian, serta pengurusan dan kawalan penyakit pokok sawit.
Program ini turut menjadi wadah perkongsian ilmu dan kepakaran rentas sempadan bagi menyokong usaha memastikan kelestarian industri sawit pada peringkat global.
Keistimewaan kursus kali ini ialah pelibatan wakil dari Indonesia menerusi kerjasama dengan CPOPC yang berkongsi kepakaran agronomi secara langsung dengan pekebun kecil. Perkongsian ilmu dan latihan amali di lapangan merangkumi penyediaan kawasan tanaman, pemilihan anak benih berkualiti, teknik pembajaan berkesan, penuaian buah sawit berkualiti, serta kaedah pengurusan dan kawalan penyakit pokok sawit, termasuk penyakit Ganoderma.
Kerjasama ini membuka peluang kepada pekebun kecil di Daerah Lundu untuk memperoleh pendedahan secara intensif dan praktikal mengenai kaedah pengurusan kebun yang lebih baik, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.
MPOB turut merakamkan penghargaan kepada CPOPC atas sokongan dalam menjayakan program berkenaan, serta komitmen semua peserta dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan pengurusan tanaman sawit.
Ilmu dan kemahiran yang diperoleh menerusi program ini diharapkan dapat dimanfaatkan dalam pengurusan kebun masing-masing dan dikongsi dengan pekebun kecil lain bagi membantu meningkatkan produktiviti sektor sawit negara.
Yang turut hadir mewakili Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ialah Timbalan Setiausaha Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sago Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBrs. Puan Nurul Marha Mohamed bersama-sama pegawai daripada bahagian berkenaan.