Diterbitkan pada 14 Julai 2026, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi krisis bekalan global menerusi langkah strategik bagi memastikan keterjaminan makanan, keselamatan domestik dan sempadan, serta kelangsungan sektor pembuatan kekal terpelihara meskipun ketegangan geopolitik dunia terus meningkat.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 14 memberikan tumpuan pada tiga keutamaan utama yang mempunyai kesan langsung terhadap rakyat dan ekonomi negara, iaitu keterjaminan makanan, keselamatan domestik dan sempadan, serta daya tahan sektor pembuatan dalam menghadapi tekanan rantaian bekalan global.

Ketegangan yang kembali memuncak di Asia Barat, termasuk perkembangan di Selat Hormuz dijangka terus memberikan tekanan terhadap harga minyak, kos pengangkutan, tempoh penghantaran dan harga bahan mentah pada peringkat global.

Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada menerima kesan kenaikan harga tenaga, perubahan dasar perdagangan dan gangguan laluan perkapalan.

Walau bagaimanapun, asas ekonomi negara kekal kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong oleh permintaan domestik, sektor perkhidmatan, pembuatan, serta eksport elektrik dan elektronik. Inflasi turut kekal terkawal, manakala prestasi perdagangan negara terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh permintaan domestik, menggalakkan pelaburan swasta dan meningkatkan prestasi eksport, di samping memastikan kenaikan harga barangan dapat dibendung dan kebajikan rakyat terus dilindungi.

Bank Negara Malaysia juga mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dengan unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara empat peratus hingga lima peratus bagi tahun ini.

Dalam aspek bekalan makanan, kerajaan memberikan jaminan bahawa bekalan makanan ruji negara kekal stabil dan mencukupi, manakala stok penimbal beras mampu menampung keperluan domestik hingga enam bulan. Harga beras putih tempatan turut dikekalkan tanpa sebarang kenaikan. Pada masa yang sama, kerajaan terus membantu pesawah melalui pelbagai bentuk insentif dan memperkukuh langkah mengatasi kenaikan kos input pertanian.

Selain memperluas bantuan kepada pesawah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempelbagaikan sumber bekalan input pertanian dan menambah baik kawal selia industri. Rang Undang-Undang Baja dijangka dibentangkan pada awal tahun 2027 bagi meningkatkan tadbir urus, menjamin kualiti baja dan memperkukuh daya tahan bekalan input pertanian negara.

MTEN turut membincangkan isu keselamatan domestik dan sempadan susulan kebimbangan terhadap pengurusan pelarian, penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kerajaan akan mempergiat operasi bersepadu, memanfaatkan analitik data dan teknologi pemantauan, serta memperkukuh Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan. Kerajaan turut menegaskan bahawa kad UNHCR bukan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan kekebalan daripada tindakan undang-undang Malaysia.

Dalam pada itu, kerajaan mengambil perhatian terhadap cabaran yang dihadapi industri plastik akibat peningkatan kos bahan mentah, logistik dan ketidaktentuan rantaian bekalan global. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama-sama Kementerian Ekonomi akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh penggiat industri bagi memperkukuh daya saing sektor pembuatan tanpa menjejaskan keseimbangan fiskal negara.

Menurut beliau, penyusunan semula rantaian bekalan global turut membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh vendor tempatan, memperluas akses pasaran, serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam aktiviti bernilai tinggi.

Kerajaan juga akan meneruskan rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah dan meneliti pelaksanaan Extended Producer Responsibility (EPR) secara sukarela bagi menyokong pembangunan ekonomi kitaran.

Beliau menegaskan bahawa tindakan kerajaan akan terus berpandukan empat keutamaan utama, iaitu memastikan bekalan makanan, tenaga dan input industri terus terjamin; mengurangkan beban kos yang tidak perlu; memperluas akses pasaran dan pelaburan berkualiti; serta mempercepat penggunaan teknologi, ekonomi kitaran dan pembangunan bakat.

Walaupun risiko geopolitik masih berterusan, kerajaan komited mengambil pendekatan berasaskan data dan melaksanakan langkah yang praktikal bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Kredit Foto: Radio Televisyen Malaysia (RTM)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi