Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Agronomi menjadi tonggak keterjaminan makanan negara dalam era perubahan iklim ketika sektor pertanian berdepan dengan peningkatan kos pengeluaran dan kebergantungan pada import makanan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Dr. Mohd Hadi Akbar Basri berkata, agronomi bukan lagi sekadar bidang ilmu berkaitan dengan tanaman, sebaliknya berperanan sebagai pemacu pengeluaran makanan yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan.
Ujar beliau,
Banyak yang masih kurang mengenali bidang agronomi sedangkan hampir setiap makanan yang berada di atas meja kita bermula daripada keputusan agronomi yang tepat. Bermula daripada pengurusan tanah dan nutrien sehingga penggunaan teknologi moden, semuanya memainkan peranan dalam memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.
Menurut beliau, agronomi merupakan cabang sains pertanian yang memberikan tumpuan pada pengurusan tanaman dan tanah bagi menghasilkan hasil yang optimum, berkualiti dan mampan. Bidang tersebut merangkumi pengurusan nutrien, kesuburan tanah dan sumber air, kawalan perosak, serta penggunaan teknologi pertanian.
Dengan pertambahan populasi dan kesan perubahan iklim yang semakin ketara, negara perlu menghasilkan lebih banyak makanan dengan menggunakan sumber yang semakin terhad.
Jelas beliau,
Cabaran hari ini bukan sekadar untuk meningkatkan hasil tanaman, tetapi kaedah kita dapat menghasilkan lebih banyak makanan dengan menggunakan air, tanah dan baja secara lebih cekap tanpa menjejaskan alam sekitar. Bermula dari situ agronomi memainkan peranan yang sangat kritikal.
Dalam konteks tersebut, penyelidikan agronomi membantu mengenal pasti amalan pertanian terbaik bagi meningkatkan produktiviti tanaman tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Penyelidikan dalam bidang berkenaan turut menyumbang kepada pembangunan teknik pembajaan yang lebih tepat dan penghasilan varieti tanaman yang lebih berdaya tahan terhadap kemarau, banjir, penyakit dan serangan perosak.
YBrs. Dr. Mohd Hadi berkata, perkembangan teknologi pertanian pintar kini turut mengubah landskap pengurusan ladang di negara ini.
Penggunaan dron, sensor tanah, Internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan petani memantau keadaan tanaman secara masa nyata, meramal risiko penyakit, serta menentukan keperluan pembajaan dan pengairan dengan lebih tepat. Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membantu mengurangkan kos operasi dan pembaziran sumber.
Mengulas persepsi bahawa sektor pertanian hanya melibatkan pekerjaan di kebun atau sawah, beliau berkata, tanggapan tersebut tidak lagi relevan seiring dengan perkembangan teknologi dan inovasi dalam sektor berkenaan.
Agronomi hari ini ialah gabungan sains, teknologi dan inovasi. Graduan bukan sahaja boleh menjadi agronomis atau penyelidik, malah berpeluang menceburi bidang analitik data pertanian, teknologi dron, pertanian digital, perundingan, serta keusahawanan agro yang semakin berkembang.
Sehubungan dengan itu, keperluan terhadap tenaga pakar dalam bidang agronomi dijangka terus meningkat selaras dengan usaha negara memperkukuh keterjaminan makanan dan memodenkan sektor pertanian.
YBrs. Dr. Mohd Hadi berkata, usaha memastikan keterjaminan makanan negara bukan hanya terletak pada bahu petani, sebaliknya memerlukan sokongan dan pelibatan semua pihak.
Kita perlu menghargai makanan, mengurangkan pembaziran dan menyokong pembangunan sektor pertanian tempatan. Pada masa yang sama, pengiktirafan perlu diberikan kepada petani, penyelidik, industri dan semua pihak dalam rantaian bekalan makanan. Tanpa mereka, sukar untuk kita menjamin bekalan makanan yang mencukupi bagi generasi akan datang.