Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia berjaya mencatat rekod nilai pelaburan dan jualan sebanyak RM249.2 juta dalam penyertaan di Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini, iaitu sebanyak RM100 juta.
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan strategi kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab industri animasi yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Sepanjang penyertaan di MIFA 2026, beberapa syarikat Malaysia berjaya memeterai pelbagai potensi kerjasama merangkumi penerbitan bersama (co-production), perkhidmatan animasi, pelaburan kandungan kreatif, pengedaran harta intelek (IP), pembangunan projek baharu, serta kemasukan produksi antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI).
Kementerian Komunikasi turut menegaskan kejayaan ini membuktikan bahawa kandungan kreatif dan animasi Malaysia semakin mendapat pengiktirafan dan kepercayaan, terutamanya pada peringkat antarabangsa, selain mencerminkan keyakinan pelabur asing dan rakan strategik global terhadap bakat, kreativiti, serta ekosistem industri kreatif negara.