Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan memutuskan bahawa caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), keputusan tersebut dibuat oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh rakyat berhubung dengan pelaksanaan skim berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, langkah itu memberikan peluang kepada pekerja tempatan untuk membuat pilihan sama ada ingin mencarum berdasarkan keperluan dan pertimbangan masing-masing. Mekanisme pelaksanaan, serta proses penyertaan secara sukarela akan diumumkan oleh PERKESO dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan bahawa caruman Skim LINDUNG 24 Jam kekal diwajibkan kepada pekerja asing mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
KESUMA turut memaklumkan bahawa mekanisme pelaksanaan skim tersebut akan diteliti semula menjelang penghujung tahun ini, termasuk dari segi hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan dan kemampanan dana. Sekiranya perlu, cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] akan dibentangkan di Parlimen.
Walaupun penyertaan pekerja tempatan kini bersifat sukarela, PERKESO akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan keselamatan sosial, serta memastikan maklumat yang disampaikan jelas dan tepat bagi membantu rakyat membuat keputusan yang bersesuaian.