Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya –Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa dakwaan kerajaan memungkiri janji berhubung dengan pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman College (TARC) adalah tidak benar.
Menurut kenyataan media MOF, pengecualian cukai bagi institusi, organisasi atau tabung kebajikan yang layak boleh diberikan sehingga tempoh maksimum 10 tahun di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2025.
Bagaimanapun, MOF menjelaskan bahawa kelulusan tersebut tidak diberikan secara automatik, sebaliknya tertakluk pada pematuhan syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian.
Menurut kementerian itu, selepas tahun 2025, Yayasan Pendidikan TARC telah memohon lanjutan pengecualian cukai. Hasil semakan mendapati beberapa syarat, khususnya berkaitan dengan tadbir urus dan pengurusan derma, masih belum dipenuhi sepenuhnya, serta memerlukan penambahbaikan sebelum kelulusan bagi tempoh penuh dapat dipertimbangkan.
Sehubungan dengan itu, kerajaan meluluskan lanjutan pengecualian cukai secara interim selama tiga tahun bagi memastikan status pengecualian cukai yayasan tersebut terus berkuat kuasa sementara proses pematuhan syarat dimuktamadkan.
MOF turut menegaskan bahawa Yayasan Pendidikan TARC layak dipertimbangkan untuk pengecualian cukai sehingga 10 tahun sekiranya semua syarat yang ditetapkan dipenuhi.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited menyokong sektor pendidikan, termasuk peranan Yayasan Pendidikan TARC, namun setiap kelulusan pengecualian cukai hendaklah mematuhi peruntukan undang-undang, syarat pematuhan dan prinsip tatakelola yang baik.