Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia dan Perancis terus memperkukuh hubungan ekonomi dua hala menerusi kerjasama yang lebih erat dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan sektor strategik.

Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Menteri Perwakilan bagi Perdagangan Luar Negeri dan Daya Tarikan Ekonomi Republik Perancis, TYT Nicolas Forissier kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Menara MITI hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama-sama Menteri Perwakilan bagi Perdagangan Luar Negeri dan Daya Tarikan Ekonomi Republik Perancis, TYT Nicolas Forissier.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua Menteri membincangkan usaha memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Perancis dan menyambut baik kemajuan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Kesatuan Eropah (EU).

Mereka turut bertukar pandangan mengenai potensi memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor strategik, termasuk pembangunan industri nadir bumi dan mineral, aeroangkasa, semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum, tenaga bersih, serta industri bernilai tinggi.

Kedua-dua pihak juga menegaskan kepentingan memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala yang lebih terbuka, telus dan berasaskan peraturan. Selain itu, mereka bersetuju bahawa pembinaan rantaian bekalan global yang lebih berdaya tahan perlu diperkasakan melalui kerjasama antara negara yang berkongsi aspirasi dan nilai yang sama.

Kunjungan hormat itu turut disusuli dengan sesi libat urus YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama-sama 22 syarikat Perancis yang beroperasi di Malaysia, serta syarikat yang berminat meneroka peluang baharu dalam pelaburan, pemindahan teknologi, inovasi dan kerjasama industri bernilai tinggi di negara ini.

Pertemuan dan sesi libat urus tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Perancis untuk memperkukuh kerjasama ekonomi yang mampu menjana kemakmuran bersama.

Perancis merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah. Pada tahun 2025, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 11.4 peratus kepada RM17.77 bilion, sekali gus mencerminkan momentum kukuh hubungan ekonomi Malaysia–Perancis.

Yang turut serta dalam kunjungan hormat tersebut ialah Duta Besar Perancis ke Malaysia, TYT Marc Abensour.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi