Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Kerajaan memperkenalkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois yang berkuat kuasa hingga 31 Disember 2027 sebagai langkah mengurangkan kos pematuhan pembayar cukai, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Program yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat membolehkan pembayar cukai mengemas kini, menyemak dan membetulkan pengemukaan e-Invois secara sukarela tanpa dikenakan penalti bagi menyokong agenda pendigitalan operasi perniagaan negara.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), PKPS e-Invois ditawarkan kepada pembayar cukai yang telah melaksanakan e-Invois mengikut garis masa yang ditetapkan, tetapi tidak mengemukakan e-Invois sepenuhnya bagi transaksi tertentu, atau mengemukakan e-Invois yang mengandungi kesilapan atau maklumat yang tidak mematuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.
Selain itu, program ini turut ditawarkan kepada pembayar cukai yang masih belum mengemukakan e-Invois bagi mana-mana tempoh bermula dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois.
Pembayar cukai yang menyertai program ini perlu memastikan pengakuan sukarela dibuat dengan tepat, serta mematuhi Garis Panduan Umum dan Garis Panduan Spesifik e-Invois. Inisiatif ini dijangka meningkatkan tahap pematuhan secara sukarela dan memudahkan proses peralihan kepada sistem e-Invois, terutama dalam kalangan PMKS.
Bagi menggalakkan pematuhan yang lebih menyeluruh, kerajaan turut bersetuju mempercepat pemberian insentif cukai kepada pembayar cukai yang melaksanakan e-Invois sepenuhnya. Melalui insentif tersebut, pembayar cukai dibenarkan membuat tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh satu tahun bagi perbelanjaan pemerolehan kelengkapan teknologi maklumat (ICT), termasuk kos pembangunan atau pengubahsuaian perisian komputer yang digunakan untuk pelaksanaan e-Invois.
Dalam pada itu, HASiL menyediakan pelbagai saluran bantuan bagi memudahkan pembayar cukai mendapatkan khidmat nasihat berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois.
Antaranya termasuklah perkhidmatan di pejabat HASiL; Meja Bantuan e-Invois yang beroperasi 24 jam melalui talian 03-86828000; MyInvois Live Chat; e-mel pertanyaan umum e-Invois menerusi [email protected]; dan Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois melalui pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.