Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM150 juta menerusi Kempen Jom Potong 2026 yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember 2026 bagi menggalakkan lebih banyak pembayar zakat menyertai atau menambah penyertaan dalam Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB).
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, YBhg. Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, skim tersebut memudahkan pembayaran zakat pendapatan dan harta secara konsisten melalui potongan gaji, sekali gus membantu memastikan agihan zakat kepada golongan asnaf dapat dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Jom Potong 2026 PPZ-MAIWP dengan kerjasama Ayam Gepuk Top Global di Kuala Lumpur pada 1 Julai 2026.
Menurut beliau, kerjasama strategik dengan Ayam Gepuk Top Global merupakan pendekatan baharu bagi memperluas kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan pekerja sektor awam dan swasta mengenai kepentingan menunaikan zakat secara sistematik melalui potongan gaji.
PPZ-MAIWP turut menggalakkan majikan memudahkan pelaksanaan potongan zakat dalam kalangan kakitangan sebagai usaha memperkukuh budaya pembayaran zakat secara berterusan, di samping meningkatkan kecekapan kutipan dan agihan dana zakat.