Diterbitkan pada 4 Julai 2026, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan melancarkan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, semalam.

Program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu meningkatkan kebajikan dan pendapatan pemandu teksi.

Antara perkara yang diumumkan termasuklah pengecualian duti eksais bagi pembelian teksi dan kereta sewa, pakej pembiayaan baharu yang menawarkan bayaran harian, pajakan termasuk penyelenggaraan, pemilikan kenderaan oleh pemandu selepas tamat tempoh, penggunaan meter digital, serta nombor pendaftaran khas Gaya Ekonomi Terampil (GET).

Pemandu teksi juga bakal menikmati sumber pendapatan tambahan menerusi paparan iklan digital pada teksi.

Bagi mempercepat proses pembaharuan armada, kerajaan turut menyediakan geran padanan berjumlah RM10 juta yang dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 5,000 buah teksi lama untuk digantikan dengan kenderaan baharu.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memperkukuh pelaksanaan program tersebut.

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, semalam.

“Skim baharu ini dijangka mampu meningkatkan pendapatan pemandu teksi kepada antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan berbanding dengan jumlah pendapatan yang lebih rendah ketika ini,” ujar Datuk Seri Anwar.

Perdana Menteri turut mengimbau kembali detik kejatuhan politik yang dilaluinya pada tahun 1997 dan tahun 1998.

“Ketika kebanyakan media dikawal oleh pihak berkuasa pada waktu itu, pemandu teksi menjadi antara saluran yang menyampaikan maklumat dan pandangan kepada orang ramai.

“Saya sifatkan pemandu teksi sebagai ejen propaganda yang berperanan penting dalam menyebarkan maklumat semasa,” ujar beliau.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, YB Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Presiden Gabungan Teksi Malaysia, YBrs. Encik Kamarudin Mohd. Hussain.

Kredit Foto: Kementerian Pengangkutan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi