Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh pembangunan ekosistem e-dagang negara menerusi pelancaran Kempen Jom Beli Selamat!: Klik Tanpa Risau sebagai usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap urus niaga digital yang selamat dan diyakini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan platform e-dagang Shopee itu merupakan pendekatan strategik untuk memperkasakan ekonomi digital negara melalui pendidikan pengguna, serta pengukuhan perlindungan dalam urus niaga dalam talian.
Menurut beliau, kempen tersebut memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran pengguna tentang kaedah mengenal pasti taktik penipuan, amalan terbaik membeli-belah dalam talian, saluran aduan dan penggunaan platform yang selamat bagi mengurangkan risiko jenayah siber.
Beliau turut menggesa penyedia platform e-dagang terus memperkukuh mekanisme perlindungan pengguna, meningkatkan pematuhan terhadap peraturan, serta memperluas kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras penipuan dalam persekitaran digital.
Pada masa yang sama, Shopee Seller Summit 2026 menjadi platform memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui perkongsian ilmu berkaitan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital, pembangunan kandungan, inovasi logistik dan pengurusan operasi perniagaan.
Menurut Armizan, inisiatif itu dijangka meningkatkan daya saing dan produktiviti PMKS, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi domestik, serta memperluas manfaat ekonomi digital secara inklusif.