Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang bermula pada hari ini membolehkan rakyat yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, jauh lebih rendah berbanding dengan harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai 2026.
Pelaksanaan inisiatif oleh Kerajaan MADANI ini dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 700 000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara yang merangkumi 400 000 pemilik di Semenanjung Malaysia, serta 300 000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pelaksanaan BUDI Diesel turut menandakan peluasan ketara berbanding dengan BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180 000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia bagi menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.
Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan lebih banyak pengguna yang benar-benar layak menikmati subsidi bahan api tanpa perlu menanggung beban kenaikan harga pasaran.
Selain pemilik kenderaan persendirian, kira-kira 70 000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kerajaan turut memperluas kelayakan kepada pemilik kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang didaftarkan atas nama syarikat tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), langkah ini bertujuan memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang layak bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, melindungi sektor ekonomi yang bergantung pada diesel dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
MoF memaklumkan bahawa akses awal BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia telah berjalan lancar sejak dibuka pada 27 Jun 2026 dengan sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi tanpa sebarang masalah serius.
Hingga pukul 12.00 tengah hari, 30 Jun 2026, sebanyak 80 000 transaksi melibatkan pembelian kira-kira 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter telah direkodkan.
Bagi pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, mereka juga boleh memohon tambahan kuota 100 liter diesel sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI tertakluk pada syarat yang ditetapkan. Hingga pukul 9.00 pagi, 30 Jun 2026, lebih daripada 22 000 permohonan telah diterima bagi kemudahan tambahan kuota tersebut.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026 bagi pengguna sebenar yang menggunakan kenderaan berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat.
Pengecualian itu melibatkan fi yang ketika ini boleh mencecah hingga RM100. Bagi memudahkan urusan orang ramai, semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri dan JPJ UTC Negeri akan beroperasi pada hujung minggu bermula 4 Julai hingga 26 Julai 2026 dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Kerajaan juga menyediakan mekanisme pemindahan kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga terdekat sekiranya kenderaan digunakan oleh individu selain pemilik berdaftar. Melalui mekanisme ini, penerima asal boleh memindahkan kelayakan membeli diesel bersubsidi kepada pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk pada syarat dan proses pengesahan yang ditetapkan.
Hingga pukul 9.00 pagi, 30 Jun 2026, hampir 1000 permohonan pemindahan kelayakan telah diterima. Pemindahan ini hanya dibenarkan sekali bagi setiap penerima dan setelah diluluskan, penerima baharu boleh menggunakan MyKad sendiri untuk menikmati kemudahan membeli diesel bersubsidi.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had kelayakan bulanan dan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI.
MoF menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengurangkan ketirisan, menjamin bekalan diesel negara dan memperkukuh keberkesanan sistem subsidi bersasar.