Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan Persekutuan komited menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai agenda ekonomi nasional yang meletakkan Johor sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara.
Pelancaran Pelan Induk JS-SEZ kini sedang diselaraskan secara teliti bagi memastikan kesiapsiagaan pelaksanaan, penyelarasan dasar dan kerjasama rentas sempadan dapat dimuktamadkan dengan sebaik-baiknya.
Menurut Kementerian Ekonomi, Pelan Induk JS-SEZ akan menjadi rujukan utama kepada pelabur, agensi pelaksana dan semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan pembangunan kawasan ekonomi khas itu. Walaupun pelan induk belum dilancarkan, pembangunan JS-SEZ tidak pernah terhenti. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus menggerakkan usaha memudah cara pelaburan, pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat dan tenaga kerja, serta urusan kastam, imigresen dan kesalinghubungan rentas sempadan.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM76.98 bilion sepanjang tahun 2025, dengan 57 peratus daripada jumlah kumulatif pelaburan tersebut kini memasuki peringkat pelaksanaan.
Bagi suku pertama tahun 2026 pula, JS-SEZ mencatatkan RM5.49 bilion pelaburan diluluskan, manakala Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) mengurus 285 pertanyaan pelaburan dari Januari hingga Mei 2026 yang melibatkan potensi pelaburan terkumpul sebanyak RM74.12 bilion.
Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap JS-SEZ terus kukuh dan manfaat inisiatif tersebut sedang diterjemahkan kepada pelaksanaan projek sebenar.
Dalam pada itu, usaha memperkukuh hubungan dengan pelabur dan rakan strategik turut dipergiat menerusi penganjuran Forum Eksekutif JS-SEZ pada 1 Julai 2026 yang menghimpunkan pelabur dan delegasi antarabangsa memperlihatkan komitmen Malaysia dalam memperluas kerjasama ekonomi dengan Itali dan negara Eropah.
Beberapa siri pertemuan turut diadakan bersama-sama delegasi dari Perancis, Jerman, negara Nordic, Taiwan dan Kanada, serta wakil diplomatik dari 35 negara yang berpangkalan di Singapura.
Selain itu, rantaian bekalan terus diperkukuh melalui program Micron–OCBC JS-SEZ Supplier Event 2026 yang membawa 30 pembekal dari Korea Selatan, Jepun dan Taiwan ke Johor bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama industri.
Persediaan operasi Johor–Singapore Rapid Transit System (RTS) pula mencerminkan agenda pembangunan JS-SEZ terus bergerak mengikut perancangan dan akan dipacu secara konsisten.
Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah berkompromi dalam memastikan masa hadapan pembangunan Johor terus diperkasakan. Fokus kini adalah untuk melancarkan Pelan Induk JS-SEZ pada masa yang tepat dengan asas pelaksanaan yang kukuh agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh rakyat Johor, di samping menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, serta mengangkat negeri itu sebagai hab ekonomi dan pelaburan utama di rantau ini.