Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 20:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selayang – Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi Pulau Pinang memperkasakan pemasaran produk agromakanan menerusi penganjurannya di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Selayang hasil kerjasama FAMA dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Program yang memasuki edisi ketiga di Selangor itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 2000 pengunjung dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM100,000. Sebanyak 45 lot jualan disediakan melibatkan 30 usahawan dari Pulau Pinang yang menawarkan pelbagai produk agromakanan berkualiti kepada pengguna.

Penganjuran program ini mendapat sokongan penuh Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Haji Rashidi Zinol sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan bersama-sama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

Inisiatif ini bertujuan membantu usahawan tempatan memperluas capaian pasaran, meningkatkan daya saing produk dan mengangkat produk agromakanan negeri ke peringkat yang lebih tinggi.

Seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Program JAM menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk usahawan tempatan, memperluas jaringan pemasaran dan meningkatkan pulangan jualan.

Program berkonsepkan jualan komoditi harian pada harga berpatutan ini turut memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan agromakanan segar secara terus daripada pengeluar.

Sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2026, Program JAM mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila sebanyak 1833 program berjaya dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah RM46.72 juta. Pencapaian ini mencerminkan komitmen FAMA dalam memperkukuh rantaian pemasaran agromakanan negara, memperluas peluang pasaran kepada usahawan dan memastikan pengguna memperoleh bekalan makanan yang segar, berkualiti dan pada harga berpatutan.

Antara tarikan utama pada edisi Pulau Pinang termasuklah pelbagai varieti durian premium dari Balik Pulau seperti Duri Hitam (D200), Udang Merah (D175), Horlor (D163), serta beberapa varieti durian tempatan lain dan Cempedak King.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk industri asas tani dan agromakanan keluaran usahawan Pulau Pinang, di samping menikmati hidangan ikonik negeri seperti nasi kandar, laksa Penang, kuetiau goreng, mi sotong dan air sarbat yang menampilkan cita rasa autentik Pulau Pinang.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri dan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi (BPEN) Pulau Pinang, YBrs. Encik Kamarul Azlan Mustaffa sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh rantaian pemasaran hasil pertanian tempatan, serta meningkatkan akses pasaran kepada usahawan demi menjamin keterjaminan makanan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi